Bilal Parvaiz dilantik sebagai CEO baharu Standard Chartered Saadiq Malaysia | DagangNews Skip to main content

Bilal Parvaiz dilantik sebagai CEO baharu Standard Chartered Saadiq Malaysia

Bilal Parvaiz
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Standard Chartered Saadiq Malaysia (Saadiq Malaysia) melantik Bilal Parvaiz sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 15 Mac 2024. 

 

Menurut bank itu, beliau akan melaporkan diri kepada CEO Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien dan CEO Perbankan Islam Kumpulan Standard Chartered Saadiq, Khurram Hilal.

 

Katanya, Bilal menyertai Saadiq Malaysia pada 2014 selepas menamatkan kerjayanya selama empat tahun di Standard Chartered Saadiq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terbaharu merupakan Ketua Korporat Islam Bank, Perbankan Komersial dan Institusi (CCIB) dan Juara Negara untuk Kewangan Mampan.

 

"Beliau telah memainkan peranan penting dalam memulakan dan memuktamadkan urus niaga penting di pelbagai geografi termasuk beberapa yang pertama pasaran, serta menerajui Inisiatif Bank Halal360, cadangan utama yang bertujuan untuk mengembangkan ekosistem halal secara global. 

 

"Bilal akan mengambil alih tampuk daripada Mohd Suhaimi Abdul Hamid yang akan berundur untuk mengejar peluang lain," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, ketika menjadi CEO, Suhaimi memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kehadiran Standard Chartered Saadiq di Malaysia. 

 

Katanya, beliau juga menjadi penyokong kuat kepelbagaian bank dan agenda inklusi melalui sumbangan utama beliau kepada WOWnita sebuah kemudahan pembiayaan perniagaan untuk usahawan wanita. 

 

Selain itu, sebagai Juara Negara untuk Standard Chartered Futuremakers, Suhaimi  menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi terhadap inisiatif yang menyokong celik kewangan, keusahawanan wanita dan kebolehpasaran belia.

 

Joon Nien berkata, dengan hampir 20 tahun pengkhususan dalam industri perbankan Islam global dan tempatan, Bilal adalah seorang jurubank Islam yang mantap dengan rekod prestasi terbukti. 

 

"Pelantikannya adalah selaras dengan rancangan penggantian bank. Saya yakin beliau akan membawa nilai yang luar biasa kepada bank dengan kemahiran kepimpinannya yang kukuh, pengetahuan industri mendalam dan hubungan baik dengan pelanggan. 

 

"Cabang perbankan Islam kami mempunyai lebih 30 tahun sejarah di Malaysia dan bertujuan untuk terus menerajui perbankan Islam melalui rumusan bertaraf dunia dan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan inovatif. 

 

"Saya tidak sabar untuk bekerja rapat bersama Bilal untuk mengukuhkan lagi kedudukan utama Saadiq dalam arena perbankan Islam di Malaysia. Bagi pihak Standard Chartered, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Suhaimi  atas kepimpinan dan sumbangan tidak ternilai untuk membina Saadiq Malaysia," katanya.

 

Bilal memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan kelayakan profesional dalam Kewangan Mampan daripada Pusat Pengajian Kewangan & Pengurusan Frankfurt, Kepimpinan Kelestarian program Universiti Cambridge dan Pemimpin Perbankan Global di Bayes Business School. 

 

Beliau juga merupakan Ahli Bersekutu Institut Bertauliah Profesional Kewangan Islam (CIIF). - DagangNews.com