KUALA LUMPUR 9 Mac - Bilangan penganggur pada Januari 2022 semakin berkurangan kepada 680,400 orang, menjadikan kadar pengangguran berada pada 4.2%.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu berkurangan sebanyak 1.1% berbanding 687,600 orang pada Disember tahun lepas.
Katanya, kedudukan tenaga buruh semakin baik pada bulan tersebut didorong peningkatan berterusan dalam guna tenaga manakala penganggur dalam trend menurun.
"Malah, bilangan penduduk bekerja juga bertambah iaitu 15.69 juta orang, meningkat 0.2% berbanding 15.65 juta orang pada Disember 2021, mencatatkan nisbah guna tenaga lebih tinggi iaitu 66.2%," katanya dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Januari 2022 hari ini.
Pada Januari 2022, 83.7% daripada 680,400 penganggur, adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan berterusan terutama dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.
Trend sama juga dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, sebaliknya guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian berada pada trend menurun sejak 18 bulan lepas.
Mengulas mengenai tenaga buruh secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata, prospek ekonomi yang lebih optimis dijangka pada bulan-bulan akan datang digambarkan oleh Indeks Pelopor yang melebihi 100 mata secara berterusan dan meningkat pada Disember 2021.
Katanya, prospek positif itu akan mendorong kepada peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak permintaan buruh dalam ekonomi.
"Pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan akan menggalakkan penyertaan buruh yang lebih ramai, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk menjadi lebih rancak pada bulan-bulan yang akan datang.
"Selain itu, Malaysia kini dalam proses untuk membuka semula sempadan antarabangsanya tidak lama lagi, sekali gus akan memberi impak yang lebih positif terhadap aktiviti berkaitan pelancongan dan mengatasi isu berkaitan pasaran buruh, antara lainnya adalah berhubung kekurangan tenaga buruh dalam industri tertentu seperti perladangan dan pembinaan," katanya. - DagangNews.com