Bilangan perceraian naik, tapi perkahwinan turun - Ketua Perangkawan | DagangNews Skip to main content

Bilangan perceraian naik, tapi perkahwinan turun - Ketua Perangkawan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Ramai rakyat Malaysia yang bercerai pada tahun lalu, tetapi jumlah perkahwinan pula menurun.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan perkahwinan yang dicatatkan pada tahun lalu menurun sebanyak 1.2% daripada 206,352 kepada 203,821.

 

Umur penengah bagi pengantin lelaki kekal pada umur 28 tahun, manakala umur pengantin perempuan meningkat daripada 26 kepada 27 tahun. 

 

“Umur penengah bagi pengantin lelaki dan perempuan untuk orang Islam dan bukan Islam kekal tidak berubah,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam siaran Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, 2020.

 

Bilangan perceraian sebaliknya meningkat 12.0% daripada  50,862 (2018) kepada 56,975 pada tempoh sama.


Bilangan perceraian orang Islam yang direkodkan pada 2019 adalah 45,502, meningkat 13.0% berbanding 40,269 (2018). 

 

“Perceraian orang bukan Islam turut merekodkan peningkatan 8.3% daripada 10,593 (2018) kepada 11,473 (2019),” tambah Mohd. Uzir. 

 

Umur penengah bagi lelaki dan perempuan masing-masing kekal pada 37 dan 34 tahun. 

 

Trend yang sama dilihat bagi perceraian orang Islam. 

 

Umur penengah bagi perceraian orang bukan Islam lelaki meningkat daripada 38 kepada 39 tahun. - DagangNews.com