Bilun Borneo ambil alih Trenergy Infrastructure daripada Sarawak Cable Berhad | DagangNews Skip to main content

Bilun Borneo ambil alih Trenergy Infrastructure daripada Sarawak Cable Berhad

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Nov — Bilun Borneo Sdn. Bhd. telah memuktamadkan pengambilalihan 100% syarikat Trenergy Infrastructure Sdn. Bhd. daripada Sarawak Cable Berhad, berkuat kuasa 17 Oktober 2023.

 

Tiada jumlah transaksi dinyatakan di dalam kenyataan media Bilun Borneo hari ini, sekadar menyatakan Trenergy telah menyelesaikan kerja-kerja bernilai lebih RM1 bilion berkaitan talian penghantaran elektrik dan projek infrastruktur, sehingga kini.

 

"Pengambilalihan tersebut berfungsi sebagai rancangan masa depan yang juga meningkatkan portfolio syarikat, sekali gus memperluaskan keupayaan dalam industri pembinaan talian penghantaran elektrik, menara telekomunikasi dan infrastruktur.

 

"Dengan pengambilalihan tersebut juga, Trenergy Infrastructure Sdn. Bhd. akan lebih mampu berdaya saing untuk menjalankan projek yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.

 

"Dengan pemilikan 100% Bilun Borneo Sdn. Bhd., Trenergy Infrastructure Sdn. Bhd. tidak lagi berada di bawah syarikat Sarawak Cable Berhad," menurut kenyataan itu.

 

Sarawak Cable kini berdepan masalah kewangan dan setakat akhir Mei 2023, pinjaman Sarawak Cable berjumlah RM400.37 juta, manakala wang tunai hanya berjumlah RM34.96 juta.


 

Jeneral (B) Tan Sri  Affendi Buang
       Jeneral (B) Tan Sri  Affendi Buang

 


Kenyataan media Bilun Borneo juga menyatakan Trenergy diterajui oleh Pengerusi baru dilantik, Jeneral (B) Tan Sri  Affendi Buang yang juga merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak.

 

Sebagai bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, beliau berpengalaman luas dalam perancangan dan penyeliaan projek-projek nasional yang berprestij dan mewujudkan legasi yang kukuh sepanjang perkhidmatan beliau bersama Angkatan Tentera Malaysia.

 

Trenergy Infrastructure Sdn. Bhd. (TISB), adalah antara syarikat pembinaan talian penghantaran elektrik terbesar di Malaysia, ditubuhkan pada tahun 1996.

 

TISB bermatlamat untuk memberikan khidmat terbaik untuk meningkatkan kualiti kejuruteraan talian penghantaran elektrik, menara telekomunikasi, infrastruktur dan pembangunan hartanah.

 

Aktiviti utama syarikat - Pembinaan Talian Penghantaran Elektrik, Menara Telekomunikasi, Pembangunan Hartanah dan Pembinaan Infrastruktur - menyediakan perkhidmatan yang membolehkan pembinaan dibuat dengan lebih kos efektif termasuk utiliti kuasa, pengeluaran kuasa, telekomunikasi, kejuruteraan awam dan teknologi infrastruktur. - DagangNews.com