BIMB Investment isytihar kadar pengagihan pendapatan 6% dana BIMB ESG Sukuk | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment isytihar kadar pengagihan pendapatan 6% dana BIMB ESG Sukuk

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad mengisytiharkan pengagihan pendapatan 6% untuk Dana BIMB Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Sukuk bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2020.

 

Kadar pengagihan pendapatan itu melebihi sasaran penanda arasnya iaitu 5%.

 

Kelas Unit

Denominasi Mata Wang

Hasil Agihan Pendapatan (%)

Kelas A

Denominasi dalam Ringgit Malaysia (RM)

6.01

Kelas B

Denominasi dalam Dolar AS (USD)

6.00

Kelas C

Denominasi dalam Dolar Singapura (SGD)

6.02

Kelas D

Denominasi dalam Ringgit Malaysia (RM)

6.01

Kelas E

Denominasi dalam Dolar AS (USD)

6.00

 

Ia lebih tinggi daripada kadar pengagihan pendapatan tahun lalu sebanyak 4.12% untuk kelas denominasi RM, 4.04% untuk kelas denominasi SGD dan 4.08% untuk kelas denominasi USD. 

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pihaknya telah membuat penilaian tambahan, iaitu skor ESG dan United Nations Global Compact (UNGC) yang akan menambahkan keselesaan kepada para pelabur.  

 

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para pelabur atas sokongan dan pelaburan yang berterusan dalam Dana BIMB ESG Sukuk yang telah memberikan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 6%. 

 

“Terdapat banyak dana sukuk yang kebanyakannya berdasarkan pada penilaian kredit. Sukuk mempunyai risiko pelaburan yang lebih rendah berbanding saham," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Dana itu menawarkan pelaburan dalam kelas denominasi RM, SGD dan USD pada 1.25 sen seunit. 

 

Ini memberi peluang kepada para pelabur untuk melabur di dalam sukuk domestik, serantau dan global. 

 

Jumlah pelaburan minimum adalah sebanyak RM1,000.

 

Dana yang diperkenalkan BIMB Investment pada Disember 2017 itu pertama di Malaysia yang diluluskan di bawah garis panduan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, beberapa tahun kebelakangan ini, pemegang saham mengalami kerugian besar berikutan risiko peristiwa ESG. 

 

Najmuddin Mohd. Lutfi
Najmuddin Mohd. Lutfi

 

Selain COVID-19, kesan negatif terhadap alam sekitar dan sosial akibat tumpahan minyak, sisa buangan dari kilang, peningkatan pelepasan karbon, dan produk yang tidak selamat boleh membawa maut, mengakibatkan kos yang berat bagi pemegang saham.

 

“Tambahan lagi, kawalan tadbir urus dan perakaunan yang lemah dapat menjejaskan kejayaan sesebuah perniagaan yang bercirikan mampan, kelebihan daya saing dan prospek pertumbuhan jangka panjang. Kami percaya dengan adanya ESG secara menyeluruh, kami dapat mengurangkan risiko ini.

 

“Pelaburan mampan dan tanggungjawab sosial menjadi peluang terbesar untuk dimanfaatkan, dan COVID-19 akan mempercepatkan agenda pelaburan lestari.

 

"Kajian yang telah dilakukan pada beberapa tahun yang lalu menunjukkan kesan positif dan berterusan terhadap kejayaan kewangan jangka panjang syarikat, sekaligus menghasilkan pulangan positif kepada pelabur dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

Dana ini menggabungkan prinsip patuh syariah dan faktor ESG dalam kriteria pemilihannya.

 

Dana ini menggunakan teknologi Arabesque S-Ray dalam penyaringan ESG yang menggabungkan lebih daripada 200 metrik ESG dengan berita dan isyarat data daripada lebih 50,000 sumber dalam 15 bahasa secara sistematik.

 

Penerbitan sukuk dinilai prestasinya berdasarkan prinsip normatif UNGC, iaitu hak asasi manusia, hak buruh, alam sekitar dan anti rasuah.

 

Selain profil risiko kredit dan prestasi kewangan, prestasi ESG penerbit sukuk turut dianalisis.

 

Analisis ESG memberikan pemahaman dan petunjuk wawasan mengenai kualiti pengurusan syarikat serta kedudukannya untuk kejayaan jangka panjang.

 

Dana ini melabur di dalam sukuk yang dinilai sekurang-kurangnya A3 atau Sukuk denominasi ringgit yang dinilai sekurang-kurangnya P1 oleh RAM Rating Services Berhad. 

 

Bagi sukuk bukan denominasi ringgit, dana melabur di dalam sukuk yang dinilai sekurang-kurangnya BBB- atau A3 oleh Standard & Poor's, atau penilaian setaraf oleh agensi penilaian yang lain.

 

BIMB Investment adalah satu-satunya Pengurus Aset Islam yang disokong bank di Asia Tenggara yang menjadi pemateri Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI). - DagangNews.com