BIMB optimis penstrukturan semula berjalan lancar - Kenanga | DagangNews Skip to main content

BIMB optimis penstrukturan semula berjalan lancar - Kenanga

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - BIMB Holdings Bhd. optimis dapat melengkapkan langkah penstrukturan semula kumpulan menjelang akhir suku ketiga 2021, di sebalik penguatkuasaan sekatan pergerakan ketika ini.

 

Melalui langkah itu, ia akan menyaksikan Bank Islam Malaysia Bhd. mengambil alih status penyenaraian BIMB dan menjadi satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Ogos.

 

Penganalisis Kenanga Investment Bank Research, Clement Chua berkata, selepas penstrukturan itu, perjanjian komersial dengan Syarikat Takaful Malaysia Bhd. akan diteruskan memandangkan Bank Islam akan memanfaatkan perjanjian bancassurance sedia ada. 

 

"Namun, ketika ini, bank tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan produk tafakul mereka sendiri," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan penyusunan semula itu, menurutnya, ia membolehkan pelabur mendapat keuntungan daripada saham Syarikat Takaful yang juga meraih manfaat daripada pemulihan ekonomi. 

 

 

Baca : Bank Islam bakal muncul satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan

 

 

Pada April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, proses penstrukturan semula BIMB berjaya melalui fasa paling sukar terutama dalam mendapatkan persetujuan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan pemegang saham serta pemegang waran.

 

BIMB juga menyempurnakan penempatan 222 juta saham baharu pada 13 April lalu, menjana dana kira-kira RM800 juta, yang akan digunakan untuk membayar sukuk tertunggak dianggarkan bernilai antara RM920 juta dan RM960 juta.

 

Penstrukturan semula itu akan memperlihatkan Bank Islam mengambil alih BIMB Securities Holdings Bhd, BIMB Securities Sdn Bhd dan Syarikat Al-Ijarah Sdn. Bhd. kecuali Syarikat Takaful.

 

Menurut Clement, berdasarkan mesyuarat dengan Ketua Pegawai Kewangan BIMB, Azizan Abd. Aziz baru-baru ini, pengurusan yakin dapat mengendalikan pemberian 6 bulan moratorium yang diperkenalkan secara opt-in berbanding opt-out sebelum itu.

 

Dengan situasi semasa ini, pengurusan menjangkakan tidak lebih 50% pemegang akaun yang memerlukan moratorium, memandangkan ketika ini hanya satu pertiga sahaja yang membuat permohonan. 

 

"Ini secara tidak langsung mencerminkan kerugian pengubahsuaian yang setara bagi separuh pertama tahun kewangan 2020. 

 

"Kebanyakan yang memohon moratorium ini juga terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro," katanya. 

 

Di samping itu, kumpulan juga mengekalkan bantuan bayaran bersasar (TRA) yang rendah kurang daripada 10% berbanding pembiayaan kasar memandangkan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada sektor kerajaan. 

 

"Oleh itu, kami percaya, kumpulan akan mendapat manfaat daripada TRA yang rendah ini kerana kurangnya kebimbangan terhadap jaminan pendapatan berbanding pelanggan profesional dan pemilik perniagaan," tambahnya. 

 

BIMB merekodkan pertumbuhan pembiayaan yang kukuh berkembang 10% bagi tahun kewangan 2020 didorong permintaan tinggi bagi segmen isi rumah. 

 

Bagi tahun kewangan 2021, katanya, pengurusan mengunjurkan pertumbuhan sekitar 7 hingga 8% masih boleh dicapai di sebalik perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan. 

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' bagi saham BIMB dengan harga sasaran RM5.10. - DagangNews.com