BIMB Securities mulakan liputan terhadap Infomina dengan saranan 'pegang', TP RM1.50 selepas mengambil kira prospek jangka pendek | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities mulakan liputan terhadap Infomina dengan saranan 'pegang', TP RM1.50 selepas mengambil kira prospek jangka pendek

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 April - BIMB Securities Research memulakan liputan terhadap Infomina Berhad dengan saranan 'pegang' pada harga RM1.50 sesaham.

 

Firma itu berkata, saranan itu adalah berdasarkan penilaian konservatif mereka terhadap prospek jangka pendek kumpulan itu dengan mengambil kira potensi risiko berkaitan krisis perbankan Amerika Syarikat (AS) terutamanya selepas pendedahan ketara dalam industri kewangan.

 

Katanya, kumpulan itu terlibat dalam reka bentuk dan pelaksanaan aplikasi teknologi dan penyelesaian infrastruktur yang memberi pengkhususan dalam teknologi kerangka utama yang menyokong operasi perniagaan asas pelanggannya.

 

Firma itu berkata, pemacu utama pertumbuhan kumpulan itu termasuk keupayaan memanfaatkan pengalamannya yang luas dalam menyampaikan teknologi kerangka utama berasaskan penyelesaian, keupayaan untuk menawarkan penyelesaian aplikasi dan infrastruktur teknologi yang dibuat khusus

 

Selain itu, kumpulan itu memiliki pangkalan pelanggan utama syarikat dan hubungan yang terjalin dengan rakan kongsi teknologi utama.

 

"Kami mengunjurkan untung bersih teras kumpulan itu bagi FY23-23 sebanyak RM24.3 juta-RM35.5 juta dengan margin keuntungan antara 10.4-11% disokong kadar tempahan yanh kukuh serta perkembangan perniagaan yang positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan dijangka mendapat manfaat daripada keperluan teknologi kerangka utama yang semakin meningkat kerana kebanyakan perniagaan sangat bergantung pada teknologi kerangka utama, menjadikannya komponen penting dalam strategi transformasi digital banyak organisasi.

 

"Ini kerana sistem kerangka utama menawarkan kuasa pemprosesan yang tiada tandingan, menjadikannya ideal untuk menguruskan transaksi jumlah tinggi dan beban kerja," katanya. - DagangNews.com