BIMB Securities optimis CGPP lonjak buku pesanan Reservoir Link pada 2024 | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities optimis CGPP lonjak buku pesanan Reservoir Link pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - BIMB Securities Research optimis bahawa Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) akan membantu meningkatkan buku pesanan Reservoir Link Energy Berhad pada tahun hadapan.

 

Firma penyelidkan itu berkata, kumpulan itu baru-baru ini memperoleh aset solar atas bumbung baharu dengan kapasiti 2.5MW dan baki tempoh PPA selama 20 tahun dengan harga RM10.5 juta.

 

"Aset itu dijangka menyumbang kepada hasil tahunan dan untung bersih sebanyak RM1.2 juta masing-masing sebanyak RM300,000 setelah selesai transaksi yang dijangka menjelang akhir 2023.

 

"Bagaimanapun, buku pesanan kumpulan itu masih dalam aliran menurun pada RM175 juta kesan daripada kekurangan projek baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM1.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1QFY24).

 

BACA JUGA: Reservoir Link catat untung bersih 3 kali ganda lebih tinggi pada 1QFY24

 

Pendapatan kumpulan itu juga meningkat 63% kepada RM67.7 juta berbanding RM41.4 juta tahun lalu manakala pendapatan sesahamnya sebanyak 41 sen daripada 15 sen sebelumnya.

 

Peningkatan pendapatan Reservoir Link itu didorong oleh segmen tenaga boleh diperbaharui (RE), serta segmen minyak dan gas, yang masing-masing menyumbang pendapatan sebanyak RM16.4 juta dan RM9.9 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan kumpulan itu berada dalam anggaran dan pada masa sama menjangkan keputusan yang lebih baik pada suku akan datang.

 

Katanya, pendapatan teras 1QFY24 kumpulan itu meningkat 42% disokong oleh segmen solar yang mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi pada RM49 juta.

 

"Walaupun hasil segmen minyak dan gas bertambah baik namun pendapatan daripada perkhidmatan penebuk telaga kekal lemah pada RM3.4 juta, mengheret margin keuntungan kasar keseluruhan untuk segmen tersebut.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 38 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com