BIMB Securities positif terhadap prospek masa hadapan Reservoir Link | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities positif terhadap prospek masa hadapan Reservoir Link

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - BIMB Securities Research menjangkakan Reservoir Link Energy Berhad memiliki prospek perkembangan jangka panjang yang positif didorong oleh pasaran baharu seperti penyahtauliahan aktiviti telaga serta projek tenaga solar.

 

Firma itu berkata, aliran tetap daripada projek seperti itu dijangka menjamin pendapatan kumpulan untuk jangka masa panjang.

 

Katanya, kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan kerugian sejak penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) pada 1QFY22 akibat penyiapan perkhidmatan PWC di Mauritania serta aktiviti luar pesisir yang lebih rendah disebabkan musim monsun.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan kembali mencatatkan keuntungan untuk suku tahun berikutnya dengan aktiviti huluan menjadi semakin normal selain disokong projek tenaga solar.

 

"Kami mengunjurkan kumpulan itu mencapai keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM5.9 juta, RM11.7 jta/ RM16.1 juta pada FY22F/FY23F/FY24F," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyukai Rservoir Linkkerana kedudukannya semakin baik dalam perkhidmatan telaga huluan tempatan yang sebelum ini dikuasai syarikat asing seperti Halliburton dan Schlumberger.

 

Katanya, peningkatan keperluan daripada badan pengawal selia tempatan akan menjadi petanda positif kepada kumpulan itu.

 

"Kumpulan itu mempunyai kelebihan untuk menjana pendapatan beterusan daripada perkhidmatan pembaikan tebuk dan kebocoran telaga yang lazimnya terhindar daripada kemerosotan dalam perbelanjaan modal huluan," katanya.

 

Firma itu memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM0.52. - DagangNews.com