Bimbang kesan HGVT kepada peniaga emas, persatuan rayu kadar setakat 5%, nilai ambang RM50,000 | DagangNews Skip to main content

Bimbang kesan HGVT kepada peniaga emas, persatuan rayu kadar setakat 5%, nilai ambang RM50,000

Gambar hiasan Abdul Razak Jewellers
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - Cukai barang bernilai tinggi (HVGT) dijangka dilaksanakan Mei ini, menyusul selepas pengenalan cukai keuntungan modal (CGT) dan kenaikan cukai perkhidmatan 8%.

 

Antara yang 'berdebar' menanti kadar HGVT dan nilai ambang dimuktamadkan ialah Persatuan Emas Malaysia (MGA) kerana barang kemas disenaraikan dari awal akan dikenakan cukai baharu itu.

 

Dalam satu kenyataan, MGA berkata, meski pun akan cuba menyesuaikan diri dengan perubahan polisi, namun ini melibatkan kelangsungan hidup ribuan peniaga emas di Malaysia.

 

Sehubungan itu, MGA memohon kepada kerajaan supaya kadar HGVT ditetapkan pada 5% manakala RM50,000 menjadi nilai ambang (threshold) penentuan barang bernilai tinggi.

 

"Dengan HVGT yang akan dilaksanakan, MGA kini dalam misi penting untuk mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan kelangsungan hidup ribuan emas dan peniaga emas di negara ini dengan mengenakan nilai ambang yang lebih longgar iaitu RM50,000.

 

"Kadar HVGT untuk barang kemas pula yang terendah iaitu 5% untuk meminimumkan kesan ke atas industri barang kemas di Malaysia," kata MGA.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan HVGT untuk barangan mewah pada kadar antara 5 hingga 10%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cukai barang bernilai tinggi dilaksanakan mulai 1 Mei 2024 - MOF

 

Sementara itu, kata MGA, selain HGVT, pembayar cukai dengan perolehan tahunan atau hasil melebihi RM100 juta akan diberi mandat mengeluarkan E-invois mulai 1 Ogos 2024.

 

Katanya, E-invois akan dilaksanakan secara berperingkat untuk kumpulan hasil yang berbeza dan akhirnya semua pembayar cukai perlu menggunakan sistem baharu ini mulai 1 Julai 2025.

 

"Sesetengah tukang emas konvensional mungkin menghadapi masalah mematuhi peraturan baharu ini, disebabkan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, menyepadukan E-invois dengan sistem sedia ada dan memastikan kecekapan kakitangan dalam peralihan digital ini, katanya.

 

louis
Louis Ng (tiga dari kiri) bersama jawatankuasa MGA 2024-2026.

 

Sementara itu, Presiden MGA, Datuk Wira Louis Ng berkata, pihak persatuan akan mengambil peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kelangsungan industri emas dan logam berharga di Malaysia.

 

Katanya, ini dilakukan di tengah-tengah turun naik harga emas disebabkan ketegangan geopolitik serta cabaran ekonomi yang berterusan di Malaysia.

 

"Saya berharap lebih ramai pemain industri menyertai MGA kerana kami memerlukan orang yang sesuai untuk membantu mencapai apa yang dirancang, iaitu untuk mengembangkan industri di tengah-tengah cabaran dan ketidakpastian," jelasnya.

 

Louis yang juga Pengerusi Eksekutif Public Gold dilantik semula menerajui MGA pada pemilihan 21 Mac lalu manakala Datuk Abdul Rasull Abdul Razak, Datuk Chiah Hock Yew dan Abdul Shukor Anuar masing-masing dipilih sebagai Naib Presiden MGA. - DagangNews.com