Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Nampaknya roti jenama tempatan, Gardenia sekali lagi menjadi barangan keperluan 'hangat' dalam kalangan rakyat Malaysia selepas dikatakan laris dijual.
Dalam tinjauan di beberapa kedai serbaneka dan runcit sekitar Seri Kembangan, Selangor, hampir semua rak-rak yang dipenuhi roti jenama itu mula menunjukkan kuantiti yang sedikit berbanding produk lain.
Tidak pasti punca sebenarnya, tetapi ini mungkin didorong oleh rakyat di negara ini yang bimbang sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.
Debaran itu semakin dirasai apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengumumkan sesuatu pada lewat hari ini.
Apakah intipatinya? Desas-desus pelaksanaan semula PKP terus membanjiri laman media sosial.
Di Twitter, rata-rata pengguna yang turut dijolokkan dengan gelaran ‘Twitterjaya’ berkongsi bahawa produk roti Gardenia telah habis dijual dan berseloroh bahawa situasi itu seolah-olah merupakan petanda awal pelaksaaan PKP.
Salah seorang pengguna, @iZarithNadia berkata, “Kalau roti Gardenia habis, jaga #panicbuying.”
Sementara itu, pengguna Twitter, @syuhadaabbas_ turut membuat hantaran ciapan bahawa produk makanan itu sudah habis.
“Too late Gardenia dah habis,” katanya.
Malah, ada pengguna Twitter menyenaraikan beberapa situasi yang bakal berlaku tidak lama lagi termasuklah kemungkinan stok Gardenia yang akan habis.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Muhammad Alif Omar, 26, berkongsikan kepada DagangNews.com, dia sejak semalam mencari produk makanan berkenaan dan rata-rata kedai yang dikunjungi, habis dijual.
Sehingga awal pagi ini, dia telah mengunjungi hampir lima buah kedai di sekitar Serdang, Selangor dan hanya sebuah kedai runcit yang masih mengisi stok roti Gardenia.
“Saya tidak berhasrat untuk membeli dalam kuantiti banyak, hanya untuk disimpan bagi tujuan sarapan.
“Saya juga terkejut apabila rak roti Gardenia di kedai serbaneka juga hampir kosong,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan yang dikongsi hanya melibatkan kawasan tertentu dan tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar di seluruh negara.
Setakat semalam, Malaysia mencatatkan kes positif baharu sehingga 2,433 dengan jumlah kematian terkumpul mencecah 551.
Ketua Pengarah, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa jika penularan itu tidak dikekang, Malaysia mungkin menyaksikan 8,000 kes harian menjelang Mac depan. - DagangNews.com