Binasat Communications raih subkontrak bernilai RM16.31 juta | DagangNews Skip to main content

Binasat Communications raih subkontrak bernilai RM16.31 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jan - Binasat Communications Bhd. menerusi anak syarikat 51% miliknya, Borderless Connection Sdn. Bhd. menerima dua subkontrak bernilai RM16.31 juta daripada Binalite Electrical Engineering Sdn. Bhd.

 

Syarikat menerima surat anugerah bagi kedua-dua subkontrak berkenaan bertarikh 13 Januari 2023, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ia terdiri daripada dua projek dengan salah satunya adalah kerja-kerja membabitkan projek Kabel Bawah Tanah 132KV Litar Berganda dari Bayan Lepan-Sungai Ara melalui Sungai Tiram, Pulau Pinang dengan nilai subkontrak bernilai RM14.16 juta.

 

Sementara itu, bagi projek kedua pula ialah membabitkan Kerja-kerja Pengalihan Kabel Bawah Tanah 132KV Bayan Lepas – Sungai Ara No. 1 Dan No. 2 Berikutan Perlaksanaan Projek Tebatan Banjir Sungai Tiram Di Kampung Naran, Bayan Lepas, Daerah Barat Daya Pulau Pinang oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dengan nilai subkontrak bernilai RM1.25 juta.

 

"Bagi projek pertama ia dijangka memakan masa selama 14 bulan bermula 31 Januari 2023 dan dijangka siap menjelang 30 Mac 2024. 

 

"Projek kedua pula selama dua bulan bermula 31 Januari hingga 30 Mac 2023," katanya dalam makluman itu. 

 

Binasat menjangkakan kontrak berkenaan tidak memberi kesan kepada modal terbitan dan pemegangan utama kumpulan.

 

"Sebaliknya, ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih Binasat dan anak-anak syarikatnya," jelasnya. -DagangNews.com