Bintai Energy dilantik sebagai pengedar eksklusif paip, injap Kumpulan Gerab di Malaysia, Brunei | DagangNews Skip to main content

Bintai Energy dilantik sebagai pengedar eksklusif paip, injap Kumpulan Gerab di Malaysia, Brunei

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April -  Bintai Kinden Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Bintai Energy Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengedar eksklusif untuk paip dan injap Kumpulan Gerab di Malaysia dan Brunei. 

 

Bintai Kinden dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, mereka sudah memetrai perjanjian pengedaran bersama Gerab National Enterprises LLC untuk mengedarkan paip dan injap untuk perniagaan minyak dan gas.

 

Menurut Bintai Kinden, Gerab merupakan stokis pukal terkemuka dan pembekal paip, paip dikimpal dan komponen bersekutu di Asia Barat untuk industri minyak dan gas, penjanaan kuasa, penyahgaraman air, proses petrokimia, perlombongan, pembinaan dan pembinaan kapal di seluruh dunia.

 

Menerusi perjanjian itu, Gerab akan menyediakan khidmat pemasaran, promosi dan maklumat lain berkaitan produk untuk menyokong Bintai Energy dalam menguruskan pengedaran semasa atau selepas penghantaran produk.

 

Perjanjian itu juga adalah untuk tempoh setahun dan bergantung kepada terma yang ditetapkan melainkan notis penamatan diberikan secara bertulis dalam tempoh 30 hari sebelum penamatan kontrak.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Noor Azri Noor Azerai berkata, perjanjian itu akan membolehkan Bintai Energy dan Gerab untuk bekerjasama sepenuhnya mengikut rangka kerja berdasarkan undang-undang domestik, peraturan dan polisi untuk memasarkan serta menjual produk untuk perkembangan syarikat itu.

 

"Setelah mempertimbangkan semua aspek yang berkaitan termasuk rasional dan kesan perjanjian itu, lembaga pengarah Bintai berpendapat bahawa perjanjian itu adalah demi kepentingan terbaik Kumpulan Bintai kerana ia menceburi perniagaan minyak dan gas," katanya.

 

Syarikat itu berkata, perjanjian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar Bintai Kinden tetapi dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa depan kumpulan itu. - DagangNews.com