Bintai Kinden berjaya raih projek subkontrak bernilai RM1.6 juta | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden berjaya raih projek subkontrak bernilai RM1.6 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Bintai Kinden Corporation Berhad berjaya meraih beberapa siri projek subkontrak bernilai RM1.6 juta daripada Petro Flanges & Fittings Sdn. Bhd. (PFF).

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Bintai Kinden berkata, kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikatnya Bintai Energy Sdn. Bhd. bagi membekalkan paip kepada syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) di Malaysia.

 

Katanya, skop kerja projek itu merangkumi pembekalan paip, injap, kelengkapan dan bebibir untuk projek saluran paip darat dan luar pesisir.

 

Bintai Energy merupakan syarikat kerjasama Bintai Kinden dan PFF masing-masing memiliki pegangan sebanyak 51% dan 49%.

 

Syarikat kerjasama itu adalah bertujuan membekalkan bahan dan peralatan kepada industri O&G tempatan dan antarabangsa, termasuk Asia Barat melalui saluran pengedaran PFF.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, kontrak yang diterima oleh Bintai Energy merupakan kontrak pertama dalam membekalkan paip kepada syarikat O&G tempatan.

 

"Industri O&G sedang mengalami pemulihan yang kukuh dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi dan kami melihat trend menaik dalam semua segmen.

 

"Terdapat beberapa lagi perancangan yang sedang diusahakan dan kami berharap dapat mengumumkan lebih banyak berita baik dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com