Bintai Kinden kembali catat untung RM3.5 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden kembali catat untung RM3.5 juta bagi FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bintai Kinden Corporation Berhad kembali mencatatkan keuntungan RM3.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022  (FY22) berbanding kerugian bersih RM10.3 juta setahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat meningkat 65.3% kepada RM96.3 juta daripada RM58.3 juta  tahun sebelumnya berikutan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada segmen mekanikal dan elektrikal (M&E).

 

Perolehan sesaham untuk FY22 berada pada 0.96 sen, berbanding kerugian sesaham 2.87 sen setahun lalu.

 

Syarikat itu berkata, untung bersih bagi 4QFY22 adalah RM915,000 berbanding kerugian bersih RM6.6 juta setahun sebelumnya, apabila pendapatan melonjak 119.9% kepada RM37.9 juta daripada RM17.3 juta .

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, prestasi kewangan yang bertambah baik itu disebabkan oleh pertumbuhan hasil yang lebih tinggi daripada segmen M&E.

 

“Segmen M&E merupakan pemacu pertumbuhan hasil utama pada 4QFY22 sebanyak 119.9% tahun ke tahun kepada yang paling kukuh sejak 2020 pada RM37.9 juta, daripada RM17.3 juta pada 4QFY21.

 

azri
Azri Azerai

 

“Semasa tahun di bawah semakan, Bintai Kinden telah memperoleh tiga kontrak M&E berjumlah RM65.9 juta daripada Tenaga Nasional Berhad.

 

"Pada 31 Mac 2022,  kumpulan itu mempunyai tempahan tertunggak sebanyak RM163.2 juta, yang akan membuatkan kami sibuk untuk dua tahun kewangan akan datang,” tambahnya.

 

Beliau berkata, Bintai Kinden akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya dalam segmen M&E dan penjagaan kesihatan serta berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang dan projek berulang di Malaysia yang mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan.

 

“Kami menyaksikan aliran meningkat dalam industri minyak dan gas (O&G) dan tenaga boleh diperbaharui.

 

“Pada April, Syarikat telah memperoleh satu siri projek sub-kontrak daripada Petro Flanges & Fittings Sdn. Bhd. untuk membekalkan bahan paip kepada syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) yang ditubuhkan di Malaysia.

 

"Kami berharap untuk mengembangkan portfolio kami dalam industri O&G dan tenaga boleh diperbaharui," katanya. - DagangNews.com