Bintai Kinden raih 2 kontrak RM25.68 juta bagi kerja-kerja pembinaan di Cheras dan bekalan tenaga sementara di LTSAAS | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden raih 2 kontrak RM25.68 juta bagi kerja-kerja pembinaan di Cheras dan bekalan tenaga sementara di LTSAAS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - Bintai Kinden Corporation Bhd menerusi Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd memperoleh dua kontrak berasingan bernilai RM25.68 juta melibatkan kerja-kerja pembinaan di Cheras dan bekalan tenaga sementara di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang di Selangor. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak pertama bernilai RM24.98 juta itu menyaksikan mereka dilantik sebagai kontraktor utama bagi pembinaan 24 unit rumah berkembar tiga tingkat dan 12 unit rumah bandar dalam bangunan tiga tingkat berserta kerja infrastruktur. 

 

"Tempoh pembinaan itu ditetapkan selama 18 bulan dengan jangkaan siap sebelum pertengahan 2026," katanya.

 

Bagi kontrak kedua bernilai RM700,000 adalah bagi kerja-kerja bekalan tenaga sementara untuk bangunan sedia ada dan kerja-kerja berkaitan di Zon 3, LTSAAS.

 

Katanya, tempoh pembinaan ditetapkan selama empat bulan dengan jangkaan tarikh siap pada 29 November 2024.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai CEO Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, kemenangan kontrak itu membuktikan keputusan positif penstrukturan semula operasi kumpulan itu.

 

Katanya, sepanjang 10 bulan menyandang jawatan itu, beliau dan pasukannya memberi fokus kepada beberapa perkara utama seperti rundingan dengan bank dan pemiutang, penjimatan kos, menyiapkan dan memuktamadkan projek tertunggak, memastikan pembayaran penghutang dan meningkatkan modal daripada pasaran.

 

"Selepas 10 bulan, kami mula mendapatkan tender untuk pekerjaan baharu, menandakan fasa pertumbuhan baharu kumpulan. Usaha ini adalah penting dalam matlamat kami untuk memacu syarikat keluar daripada PN17 (Nota Amalan 17)," katanya.

 

Beliau berkata, sejak penstrukturan semula itu, pihaknya berjaya memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM56 juta dengan buku tender berjumlah RM160 juta. - DagangNews.com