Bintai Kinden raih kontrak substesen, transformer tenaga bernilai RM57.4 juta daripada TNB | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden raih kontrak substesen, transformer tenaga bernilai RM57.4 juta daripada TNB

Bintai Kinden Corporation Berhad raih dua kontrak bernilai RM57.4 juta daripada TNB.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Bintai Kinden Corporation Berhad berjaya meraih kontrak substesen tenaga dan transformer tenaga daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bernilai RM57.4 juta.

 

Anak syarikatnya iaitu Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) pada 23 Mac lalu menerima dua surat lantikan daripada TNB untuk menjadi kontraktor bagi kedua-dua kerja itu.

 

Menerusi kontrak substesen tenaga, KBK akan membekal, mendirikan, menguji dan mentauliah stesen penukaran 275 kilovolt (kV) di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan dekat Gebeng, Pahang dengan nilai RM31.5 juta.

 

Kontrak kedua bernilai RM25.9 juta akan menyaksikan KBK melaksanakan cadangan sambungan transformer tenaga 132kV di Elmina West dekat Shah Alam.

 

Kontrak substesen itu dijangka siap dalam masa 24 bulan manakala kontrak transformer tenaga dalam tempoh 18 bulan.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, kontrak baharu yang diraih itu akan meningkatkan lagi reputasi syarikat dalam industri mekanikal dan kejuruteraan.

 

bintai
Azri Azerai

 

"Kami akan terus memanfaatkan kekuatan teras kami untuk meraih lebih banyak kontrak pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Kedua-dua kontrak dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FYE2022) dan FYE2023, selain perolehan masa hadapan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

Ia merangkumi kontrak substesen tenaga dan transformer tenaga itu, Bintai Kinden berjaya meningkatkan jumlah tempahan kontraknya kepada kira-kira RM170.9 juta yang akan menyediakan  pendapatan yang jelas dalam tempoh dua tahun. - DagangNews.com