Bintai Kinden raih projek subkontrak bernilai RM3 juta daripada PFF | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden raih projek subkontrak bernilai RM3 juta daripada PFF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Bintai Kinden Corporation Berhad berjaya mendapat beberapa projek subkontrak bernilai RM 3juta daripada Petro Flanges & Fittings Sdn Bhd (PFF).

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Bintai Kinden berkata, projek itu dianugerahkan kepada Bintai Energy Sdn. Bhd. bagi membekalkan membekalkan bahan paip kepada syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) di Malaysia.

 

Menerusi kontrak itu, Bintai Energy akan membekalkan paip keluli karbon gred tinggi atau keluli tahan karat, injap dan aksesori paip kepada syarikat berkaitan O&G yang ditubuhkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf.

 

Bintai Energy merupakan syarikat kerjasama 51:49 di antara unit Bintai Kinden, Kejuruteraan Bintai Kidenko Sdn. Bhd. dan PFF.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, Bintai Eergy berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM4.6 juta daripada PFF sejak April untuk membekalkan barangan paip kepada syarikat berkaitan O&G.

 

"Kami menjangkakan permintaan untuk bahan paip akan terus meningkat seiring dengan pemulihan dalam industri O&G,” katanya.

 

Beliau berkata, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa akan datang. - DagangNews.com