BioTech UPM naik taraf fasiliti penyelidikan dan pertanian setanding negara luar | DagangNews Skip to main content

BioTech UPM naik taraf fasiliti penyelidikan dan pertanian setanding negara luar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul Universiti Putra Malaysia (BioTech UPM) sedang berusaha menaik taraf fasiliti penyelidikan dan pertanian agar setanding dengan kemudahan di negara serantau seperti Singapura, Thailand, Korea dan Jepun, dalam masa terdekat. 

 

UPM dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa bidang tujahan penyelidikan seperti penggunaan kod genetik, bioinformatik, mikrobiologi, bioproses, tisu kultur dan agen kawalan bio sedang giat dibangunkan untuk memaju pembangunan sektor agromakanan negara. 

 

Menurutnya, bekalan makanan yang mencukupi adalah penting terutamanya bekalan beras yang merupakan sumber karbohidrat utama di Malaysia. 

 

"Bagaimanapun, Malaysia hanya mampu menghasilkan 60-70% bekalan beras untuk kegunaan masyarakat di dalam negara. Selebihnya, Malaysia perlu mengimport bekalan beras daripada negara luar," katanya.

 

Menurut Penyelidik BioTech UPM, Dr. Nur Fatihah Mohd Yusoff dan Prof Dr. Ho Chai Ling, penghasilan varieti padi baharu boleh dilakukan menggunakan kaedah pembiakbakaan atau modifikasi genetik. 

 

"Dengan teknologi ini, diharap petani dapat meningkatkan hasil pengeluaran beras melebihi keperluan dalam negara dan seterusnya meningkatkan sumber pendapatan dan taraf hidup petani," katanya.

 

Penyelidik BioTech UPM, Dr Nadiya Akmal Baharum pula berkata, selain beras, pisang dilihat sebagai buahan utama di Malaysia. 

 

 

upm

 

 

"Penyakit layu Fusarium, merupakan antara ancaman terbesar kepada pokok pisang yang mampu melumpuhkan kelangsungan penghasilan pisang di seluruh dunia. 

 

"Keupayaan anti-kulat beberapa lagi gen pisang terhadap Fusarium oxysporum f. sp. cubense Tropical Race 4 (Foc TR4), iaitu kulat penyebab penyakit layu Fusarium sedang dikaji menggunakan pelbagai teknik biologi molekul, biologi sel dan analisa bioinfomatik," katanya.

 

Diketuai Prof Madya Dr Mohd Puad Abdullah, BioTech UPM juga telah memilih beberapa variati pisang tempatan seperti pisang rotan, jaribuaya, dan pisang pinang untuk dikultur secara ‘in vitro’ bagi tujuan penyelidikan. 

 

 

upm

 

 

Variati berkenaan dan pisang hutan yang tumbuh liar mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap penyakit pisang dan menjadi bahan penyelidikan yang bernilai untuk memahami mekanisme ketahanan pokok pisang terhadap penyakit. 

 

Pihak BioTech UPM diketuai Prof Madya Dr Nurulfiza Mat Isa telah mula memfokuskan penyelidikan dengan menggunakan teknik Bioinformatik dalam menyelesaikan isu penyakit berjangkit yang di dilihat dari segi kepentingan sebagai penanda molekul berpotensi untuk tujuan diagnostik mahupun penanda molekul berpotensi bagi pemilihan baka genetik yang rintang kepada jangkitan patogen.

 

Peralihan kepada daging kultur dilihat boleh mengurangkan keperluan menternak haiwan untuk disembelih serta menangani cabaran berkaitan dengan penternakan secara konvensional. 

 

 

upm

 

 

Dengan diketuai Prof Madya Dr Nik Mohd Afizan Nik Abdul Rahman, matlamat pembuatan daging kultur industri adalah untuk menghasilkan penggantian daging yang boleh dilaksanakan secara ekonomi dengan struktur daging sebenar, seperti stik keseluruhan atau fillet ikan daripada kultur sel.

 

Sebagai pemacu kemajuan agro makanan di Malaysia, BioTech UPM telah bekerjasama dengan pihak industri seperti Halways Sdn Bhd dalam memberikan kursus-kursus pertanian bagi melatih golongan petani dengan memperkenalkan sistem bioteknologi. 

 

Melalui syarikat Halways Sdn Bhd yang diketuai Dr. Akhmal Hakim Roslan, produk-produk hasil penyelidikan di BioTech UPM telah mula dipasarkan di pasaran Malaysia dan serantau bagi membantu mengurangkan beban golongan petani. Ini membuktikan kepentingan bioteknologi dalam pemacu industri agro makanan di Malaysia. 

 

Biotech UPM juga giat menjalinkan kerjasama dengan badan seperti Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk mengetengahkan pakar-pakar biotech kepada masyarakat dan industri untuk menyelesaikan isu-isu terutamanya yang berkaitan dengan sektor agromakanan. - DagangNews.com