BlackBerry buka pusat kecemerlangan keselamatan siber di Malaysia, tangani kekurangan tenaga kerja | DagangNews Skip to main content

BlackBerry buka pusat kecemerlangan keselamatan siber di Malaysia, tangani kekurangan tenaga kerja

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Pusat kecemerlangan keselamatan siber (CCoE) BlackBerry Limited yang secara rasminya dibuka di Kuala Lumpur membantu Malaysia menangani kekurangan profesional keselamatan siber, yang dilaporkan kira-kira 12,000 orang pada masa ini, dan memajukan peluang kerjaya.

 

Ini adalah sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 25,000 tenaga kerja dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025.

 

Blackberry dalam satu kenyataan media hari ini berkata, CCoE baharu itu akan menyampaikan latihan keselamatan siber dan perisikan ancaman siber untuk membantu Malaysia dan rakan kongsi di rantau ini mencegah, menghalang dan bertindak balas terhadap ancaman siber yang dihadapi kerajaan dan organisasi di rantau Indo-Pasifik.

 

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa Kurikulum Keselamatan Siber BlackBerry baharu, yang kini tersedia buat kali pertama menerusi kemudahan baharu itu, menawarkan pelbagai tawaran kursus dan pensijilan yang diiktiraf di peringkat global bagi membantu mengembangkan tenaga kerja dan ekosistem keselamatan siber berkemahiran di Malaysia dan rantau ini.

 

Pembukaan CCoE dan pelancaran Kurikulum Keselamatan Siber BlackBerry menandakan satu lagi peristiwa penting dalam perjanjian antara kerajaan Malaysia dan BlackBerry yang diumumkan pada November 2023.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain membantu melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja siber negara, pusat kecemerlangan keselamatan siber itu berpotensi untuk menjadi destinasi antarabangsa untuk menangani ancaman siber.

 

"Kita boleh menghimpunkan universiti Malaysia dan Kanada, institusi penyelidikan dan pengamal mahir untuk berkongsi pengetahuan, maklumat ancaman dan membangunkan bersama kaedah dan strategi untuk mengukuhkan daya tahan siber nasional dan serantau,” ujar beliau selepas merasmikan pusat terbabit di sini hari ini.

 

Kurikulum CCoE menawarkan kursus latihan tentang produk dan perkhidmatan keselamatan siber BlackBerry untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, serta kursus pengkhususan tinggi yang disampaikan oleh Institut SANS, Rogers Cybersecure Catalyst Kanada dan rakan kongsi pensijilan lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

 

Ia juga menawarkan peluang biasiswa terpilih untuk profesional keselamatan siber wanita, dengan rancangan selanjutnya bagi menambah kurikulum universiti sedia ada dengan program pendidikan pelajar CCoE. - DagangNews.com