Pengarah Eksekutif BlackBixon Sdn. Bhd., Lai Kian Huat (dari kiri) bersama Pengarah Urusan BlackBixon, Khoo Chee Kong; Pengerusi Ni Hsin, Sofiyan Yahya; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus dan Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh dalam majlis menandatangani perjanjian antara redONE dan BlackBixon hari ini.
KUALA LUMPUR 10 Mac - BlackBixon Sdn. Bhd., memeterai perjanjian kerjasama dengan Red One Network Sdn. Bhd. (redONE) untuk memasarkan dan menjual runcit kopi tenaga baru Ni Hsin di bawah jenama BlackBixon.
Secara dasarnya, BlackBixon adalah sayap perniagaan makanan dan minuman (F&B) di bawah syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, Ni Hsin Resources Berhad manakala redONE merupakan pengendali rangkaian maya mobil (MVNO).
Pengarah Urusan BlackBixon, Khoo Chee Kong berkata, kerjasama ini membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada pelanggan redONE seramai 1.2 juta bagi memasarkan produk tersebut.
Katanya, penyertaan BlackBixon dalam segmen F&B adalah sebagai langkah strategik untuk masa hadapan Ni Hsin.
Ini kerana katanya, perniagaan baharu ini akan meningkatkan perolehan syarikat memandangkan minat yang tinggi terhadap minuman tenaga dan kopi, selain permintaan bertambah dari segi penggunaan kopi di rumah.
"Malah, kami percaya rangkaian redONE boleh mengukuhkan usaha pemasaran dan mencapai pelanggan sasaran, baik perniagaan kepada perniagaan mahupun perniagaan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.
Chee Kong juga memberitahu, BlackBixon adalah cafe@home@office@anywhere dan Ni Hsin mempunyai perancangan bagi memperluaskann perniagaan F&B ini, dengan Malaysia sebagai pasaran awal, manakala pasaran serantau menjadi langkah seterusnya bagi syarikat.
"Langkah kami dalam segmen ini juga akan menjadi permulaan usaha baharu untuk berubah daripada pengeluar peralatan memasak kepada perniagaan F&B yang diharap menjadi lebih besar berbanding perniagaan peralatan memasak," tambahnya.
Satu malis menandatangani perjanjian telah diadakan hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengerusi Ni Hsin, Sofiyan Yahya; Khoo Chee Kong; Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus dan Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh.
Majlis itu adalah susulan perjanjian kerjasama Ni Hsin bersama Fiatec Biosystem Sdn. Bhd. pada Ogos 2020 untuk pembangunan dan formulasi produk kesihatan dan biotenaga sebagai menandakan langkah syarikat dalam perniagaan F&B.
Pada Januari 2021, Ni Hsin memeterai Perjanjian Bantuan Teknikal dan Pembekalan bersama Global Coffee Resources Sdn. Bhd. (GCR) dengan melantik GCR sebagai pembekal biji kopi dan serbuk kopi.
Ni Hsin pada Februari lalu turut memfailkan paten bagi BlackBixon untuk melindungi hak syarikat ke atas ciptaan tersebut dan menjamin kelebihan daya saing perniagaan F&B di dalam menjual produk-produk menggunakan kaedah tersebut. - DagangNews.com