Blog Rasmi TM sasar jadi pusat maklumat sehenti golongan pembuat keputusan, penganalisis dan media | DagangNews Skip to main content

Blog Rasmi TM sasar jadi pusat maklumat sehenti golongan pembuat keputusan, penganalisis dan media

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini telah melancarkan Blog Rasmi TM yang mengetengahkan pandangan atau buah fikiran daripada para pemimpin atasan kumpulan serta pakar dalam industri teknologi dan telekomunikasi.

 

TM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mengikuti jejak langkah beberapa firma teknologi terkemuka di dunia, blog tersebut disasarkan untuk menjadi pusat maklumat sehenti bagi golongan pembuat keputusan, penganalisis serta media.

 

"Blog itu membolehkan mereka memperoleh berita terkini tentang peristiwa yang berlaku di dalam industri, idea-idea baharu, analisis serta trend dalam teknologi dan transformasi digital, kelestarian, budaya organisasi dan pelbagai topik menarik lain," katanya.

 

Tambahnya, artikel-artikel tersebut dibahagikan kepada empat segmen iaitu Idea, Trend, Pencapaian, Pandangan (Ideas, Trends, Achievements, Insights) dan ditulis dengan objektif untuk berinteraksi dan memberi inspirasi kepada audiens global bermaklumat. 

 

"Para pembaca juga boleh menandakan artikel dan melanggan kandungan yang penting, serta berkongsi artikel-artikel menerusi media sosial mereka," katanya.

 

Blog Rasmi TM ini dikemaskini secara bulanan, dan boleh diakses dari laman utama web korporat TM, https://www.tm.com.my/Pages/Home.html atau secara terus dari https://blog.tm.com.my/. - DagangNews.com