BMW kekalkan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia untuk empat tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

BMW kekalkan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia untuk empat tahun berturut-turut

Model kenderaan BMW i mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan tahun lalu.

KUALA LUMPUR 19 Jan - BMW Group Malaysia sekali lagi menjadi pengeluar kenderaan premium nombor satu di negara ini apabila berjaya menjual lebih 15,012 buah BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2023.

 

Malah, kejayaan tersebut adalah buat kali keempat berturut-turut yang cukup bermakna sempena ulang tahun ke-20 operasi BMW Group di negara ini.

 

BMW Group Malaysia turut memperkukuhkan kedudukan sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) nombor satu dengan penyerahan lebih 3,600 unit EV BMW, MINI dan BMW Motorrad.

 

Angka tersebut mewakili pertumbuhan 136 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan EV premium BMW di jalan raya Malaysia mencecah hampir 30,000 unit.

 

Keseluruhannya pada tahun lalu, sebanyak 11,699 kenderaan jenama BMW berjaya diseragkan manakala MINI merekodkan pertumbuhan 41.9 peratus dengan lebih 1,750 kenderaan yang berjaya diserahkan.

 

BMW Motorrad pula menyaksikan lebih 1,563 motosikal yang diserahkan dengan pertumbuhan sebanyak 13.4 peratus.

 

Menurut Naib Presiden dan Ketua MINI Rantau Asia, Eropah Timur, Timur Tengah, Afrika BMW Group, Pierre Jalady, model kenderaan BMW i mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan tahun lalu menerusi pengenalan beberapa model berkaitan.

 

Ini terutama BMW iX1, BMW iX, BMW i7, MINI Electric dan jentera elektrik yang sulung dalam arena mobiliti bandar, BMW CE 04.

 

bmw mini

 

"Sambutan sangat baik ini membolehkan kita muncul pembekal kenderaan elektrik premium nombor satu di Malaysia, satu pencapaian yang membanggakan kerana ia membuktikan matlamat untuk mencorak, meneraju dan menjamin masa depan landskap automotif negara ini dengan penawaran teknologi terbaharu daripada BMW Group," katanya.

 

Jalady berkata demikian pada taklimat media di sini, hari ini yang turut dihadiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson.

 

Jelas Jalady, prestasi kenderaan elektrik daripada portfolio BMW Group di peringkat global juga berkembang dengan pesat pada 2023 merangkumi 15 peratus daripada penyerahan yang dibuat.

 

"Ini menekankan peranan rintis pengeluar kenderaan premium ini dalam segmen kenderaan elektrik di serata dunia," katanya.

 

Beliau berkata, BMW Group Malaysia akan terus memaksimumkan usaha dalam menyebarluas rangkaian pengecasan awamnya di seluruh negara bagi memangkin minat kepada EV.

 

BMW Group Malaysia menyediakan lebih 1,700 fasiliti pengecasan di dalam rangkaiannya untuk kegunaan pelanggan ketika ini dengan akses ke atas lebih 400 daripada kemudahan itu disediakan menerusi usaha sama dengan ChargEV dan Yinson Greentech.

 

bmw15

 

Sementara itu, usaha sama dengan JomCharge membekalkan akses ke atas lebih 100 kemudahan pengecasan, Gentari dengan lebih 150 kemudahan serta kira-kira 160 kemudahan lagi daripada rakan niaga seperti ChargeN'Go, ChargeSini, Go To-U dan FlexiParking.

 

Di samping itu, setakat tahun lalu, lebih daripada 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI j disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah di samping lokasi rakan kongsi di serata negara dengan rancangan untuk meluaskan lagi infrastruktur strategik rangkaiannya tahun ini.

 

Tahun lalu menyaksikan 19 model dan varian baharu dalam portfolio BMW Group Malaysia diperkenalkan dengan lapan daripadanya ialah 100 peratus elektrik.

 

Dalam acara sama, BMW Group Malaysia dan Auto Bavaria, rangkaian pusat pengedaran BMW bertauliah yang terbesar di Malaysia juga telah melancarkan bilik pameran canggih mereka yang terbaharu, dibina menerusi konsep Retail.NEXT.

 

BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW X5 xDrive50e M Sport baharu pemasangan tempatan (CKD).

Tampil dengan pakej M Sport secara standard, BMW X5 xDrive50e ditawarkan pada harga anggaran bermula RM530,000.- DagangNews.com