BNM berkemungkinan besar tidak laksanakan penurunan kadar faedah tahun ini - OCBC Bank | DagangNews Skip to main content

BNM berkemungkinan besar tidak laksanakan penurunan kadar faedah tahun ini - OCBC Bank

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan - OCBC Bank menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar tidak akan melaksanakan sebarang penurunan kadar faedah pada 2022 berikutan persekitaran unjuran pemulihan ekonomi yang bertambah baik.

 

Ketua Ahli Ekonominya Selena Ling berkata, BNM juga dijangka terus komited untuk menyokong pertumbuhan sedaya mampu dengan mengekalkan kadar pada paras rendah semasa. 

 

Berikutan itu, katanya, bank pusat tersebut diunjur terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% sepanjang tahun ini.

 

"Selain daripada keadaan inflasi tempatan, apa yang paling penting ialah sentimen pasaran global. 

 

"Risiko utama adalah perubahan kadar dana oleh pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) secara pantas sehingga mencetuskan pergolakan pasaran dan memaksa bank pusat di negara-negara sedang membangun termasuk Malaysia mengambil tindakan bagi mengukuhkan sentimen. 

 

"Senario sebegini tidak harus diketepikan dalam keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

BNM dijadual mengumumkan keputusan mengenai OPR pada akhir mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari selama dua hari, petang ini.

 

Menyentuh keadaan inflasi, Ling berkata, inflasi teras dijangka kekal rendah pada kadar di bawah 1.0 peratus pada tahun ini manakala inflasi utama dijangka terus menyederhana pada 2022.  

 

Dari segi pertumbuhan ekonomi, beliau berkata OCBC Bank mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia mencecah sehingga 5% pada 2022 berbanding unjuran 3.2% pada 2021, didorong oleh unjuran eksport yang positif. 

 

Beliau mengingatkan, biarpun momentum pertumbuhan lebih kukuh ini menggalakkan, kadar pertumbuhan berkenaan berkemungkinan tidak setinggi unjuran rasmi. 

 

"Kerajaan telah mengunjurkan pertumbuhan sekitar 5.5-6.5% pada 2022  yang kami anggap sebagai agak optimistik, terutama memandangkan cabaran struktur yang dihadapi dari segi pemulihan tahap penggunaan," katanya. -DagangNews.com