KUALA LUMPUR 26 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini mengumumkan peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht berkuat kuasa 1 Disember 2021.
Peluasan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggunakan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Thailand.
Rangka kerja mutakhir ini termasuk meluaskan segmen pengguna yang layak dengan mengambil kira rakyat Malaysia dan Thailand yang menetap sama ada di Thailand atau Malaysia.
Malah, ia turut merangkumi dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, peluasan ini akan memberikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan kewangan dalam denominasi ringgit atau baht bagi individu dan juga perniagaan di kedua-dua negara.
"Melalui rangka kerja tersebut, sekarang rakyat Thailand yang menetap di Malaysia juga boleh menggunakan perkhidmatan ini.
"Peluasan ini akan merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BOT, Mathee Supapongse berkata, peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang mutakhir ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia dan Thailand.
Katanya, ia akan memudahkan lagi transaksi kewangan merentas sempadan termasuk melalui jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara kedua-dua negara yang dilancarkan baru-baru ini.
"Kami yakin usaha ini akan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas serta meningkatkan integrasi kewangan di rantau ASEAN," menurut beliau.
Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Malaysia dengan Thailand dilancarkan buat kali pertama pada 14 Mac 2016 sebelum diperluas pada 2 Januari 2018, selaras dengan Memorandum Persefahaman antara BNM dengan BOT yang ditandatangani pada 27 Ogos 2015.
Susulan peluasan yang terbaharu ini, BNM dan BOT juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara untuk menyertai dan terus menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang diperluas tersebut.
Secara umumnya, bank-bank yang dilantik adalah berdaya maju dan kukuh, berpengalaman dalam memudahkan penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, serta telah mempunyai hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini.
Bank-bank lain yang baru dilantik di Malaysia adalah HSBC Bank Malaysia Bhd. dan Standard Chartered Bank Malaysia Bhd. manakala bank sedia ada yang dilantik pula termasuklah Bangkok Bank Bhd., CIMB Bank Bhd., Malayan Banking Bhd., MUFG Bank (Malaysia) Bhd., Public Bank Bhd., RHB Bank Bhd. dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.
Di Thailand pula, bank-bank lain yang dilantik adalah The Hong Kong and Shanghai Banking Corporation Limited dan Cawangan Bangkok Standard Chartered Bank (Thai) PCL manakala bank sedia ada yang dilantik termasuklah Bangkok Bank PCL, Bank of Ayudhya PCL, CIMB Thai PCL, Kasikornbank PCL, Krung Thai Bank PCL, Siam Commercial Bank PCL dan United Overseas Bank (Thai) PCL. - DagangNews.com