BNM dijangka kekalkan OPR pada 1.75%, kenaikan hanya berlaku pada separuh kedua 2022 - MARC | DagangNews Skip to main content

BNM dijangka kekalkan OPR pada 1.75%, kenaikan hanya berlaku pada separuh kedua 2022 - MARC

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari esok, demikian menurut Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC). 

 

Kadar faedah tersebut tidak berubah sejak Julai 2020 memandangkan bank pusat mengambil langkah bagi menyokong pemulihan ekonomi yang rapuh. 

 

Malah, agensi penarafan itu menjangkakan BNM akan menyatakan pendirian berhati-hati di samping mengekalkan penilaiannya terhadap ekonomi dan prospek inflasi.

 

"Ekonomi Malaysia nampaknya tidak bersedia untuk normalisasi monetari di tengah-tengah ketiadaan sebarang tanda pemulihan dari segi permintaan yang kukuh. 

 

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada suku keempat 2021 yang berkembang 3.6% terutamanya disokong kelonggaran dari segi bekalan. 

 

"Lantunan semula itu mungkin lebih tinggi tetapi terperangkap oleh permintaan yang lembap dan pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah," katanya dalam nota kajiannya.

 

Tambahan pula, menurutnya, risiko penurunan kepada pertumbuhan kekal ketara di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat berkaitan tindak balas wabak dan ketegangan geopolitik.

 

 

covid

 

 

MARC berkata, kerajaan telah menarik balik banyak sekatan bekalan selaras dengan Pelan Pemulihan Negara tetapi data frekuensi yang tinggi akhir-akhir ini menunjukkan bahawa pemulihan permintaan tidak berlaku secara automatik.

 

Data Google Mobility baru-baru ini menunjukkan kes jangkitan yang melonjak sejak Februari menyebabkan pengguna melaksanakan 'sekatan kendiri' dengan mengelakkan sebarang pembelian runcit dan lebih gemar berada atau bekerja di rumah.

 

"Cukuplah untuk mengatakan bahawa ini pasti akan menggagalkan pemulihan permintaan dalam beberapa minggu atau bulan akan datang," tambahnya.

 

Bagaimanapun, agensi itu mendapati, peningkatan kelemahan kewangan daripada tempoh lanjutan kadar faedah yang rendah dalam sejarah telah dikawal dengan baik setakat ini.

 

Ini berdasarkan data terkini yang menunjukkan indeks harga rumah (HPI) berkembang dengan kadar perlahan lebih daripada sedekad pada suku ketiga 2021.

 

Pertumbuhan pembiayaan juga kembali kepada paras sebelum pandemik pada 2021, tetapi tidak mungkin berlaku kenaikan mendadak beberapa bulan akan datang.

 

"Pertumbuhan pinjaman hanya meningkat sedikit kepada 4.5% pada Disember 2021 daripada 4.3% pada bulan sebelumnya. 

 

"Oleh demikian, adalah menarik bagi BNM untuk mengekalkan pendirian monetari yang akomodatif untuk beberapa waktu," jelasnya. 

 

 

beli-belah

 

 

Sementara itu, MARC percaya tekanan inflasi akan kekal didorong kos buat masa ini, dengan kebanyakannya adalah daripada makanan dan minuman bukan alkohol, yang membentuk lebih satu perempat daripada inflasi teras.

 

"Kami juga melihat risiko kenaikan inflasi daripada harga komoditi yang lebih tinggi dan kelemahan ringgit akibat perang Rusia-Ukraine yang berterusan dalam tempoh terdekat dan akan dihadkan oleh permintaan yang semakin lemah.

 

"Dalam hal ini, kerajaan dijangka mengambil pendekatan jangka pendek dalam tekanan harga melalui subsidi dan mekanisme kawalan harga yang lain," katanya.

 

Agensi tersebut juga berpandangan, cadangan pembukaan semula sempadan Malaysia adalah satu perkembangan positif dan ia memerlukan semakan semula SOP bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

 

Sehubungan itu, ia berpendapat kadar faedah yang lebih tinggi hanya boleh dilakukan dengan perubahan drastik dalam persekitaran luaran atau kadar pelepasan yang lebih pantas di tengah-tengah peningkatan kos input. 

 

"Perubahan mendadak dalam dasar monetari tidak mungkin berlaku dan pendirian monetari akan kekal cukup akomodatif untuk tempoh beberapa waktu. 

 

"Jadi, kami mengekalkan pandangan bahawa penarikan balik BNM hanya akan berlaku pada separuh kedua 2022 dengan kadar kenaikan secara berperingkat," jelasnya. - DagangNews.com