BNM diunjur kekal OPR pada paras 3% Khamis ini - OCBC Bank | DagangNews Skip to main content

BNM diunjur kekal OPR pada paras 3% Khamis ini - OCBC Bank

KUALA LUMPUR 4 Julai - OCBC Bank menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3% menerusi mesyuarat  Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan berlangsung Khamis ini.

 

Unjuran itu adalah berdasarkan momentum pertumbuhan yang perlahan serta bertujuan mengurangkan tekanan inflasi. 

 

Bank itu berkata, unjuran itu juga berdasarkan data aktiviti kemasukan yang kurang memberangsangkan sejak 3 Mei lalu apabila BNM membuat kejutan dengan kenaikan sebanyak 25 mata asas (bps) yang memaparkan momentum pertumbuhan lebih perlahan dalam suku kedua 2023.

 

"Kami mengandaikan 70% kemungkinan untuk BNM mengekalkan kadar OPR dalam mesyuarat itu serta kebarangkalian sebanyak 30% membabitkan kenaikan 25 bps untuk kali kedua berturut-turut," katanya, lapor Bernama, hari ini.

 

Bank itu berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikan itu.

 

Katanya, inflasi teras misalnya berkurangan berbanding inflasi keseluruhan namun hala tuju sedia ada menunjukkan tekanan inflasi berkenaan semakin mereda.

 

"Impak lebih besar terhadap inflasi itu berkemungkinan daripada subsidi bahan api bersasar yang masih dibincangkan sekarang.

 

"Berikutan itu, pada pandangan kami, risiko terhadap langkah tambahan mengetatkan dasar akan meningkat secara ketara jika tekanan inflasi terus meningkat akibat pelaksanaan subsidi bahan api bersasar," katanya. - DagangNews.com