BNM jangka 15% tidak mampu bayar semula pinjaman | DagangNews Skip to main content

BNM jangka 15% tidak mampu bayar semula pinjaman

 

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Sebanyak RM120 bilion telah diagihkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada separuh pertama tahun ini melibatkan 65,597 akaun. 

Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi separuh pertama 2020 yang dikeluarkan BNM hari ini, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding 57,367 akaun yang diagihkan pada tahun lalu. 

"Pelaksanaan dasar seperti skim jaminan kredit dan akses mudah kepada dana pembiayaan juga akan diteruskan bagi membantu menyokong pembiayaan untuk PKS," katanya. 

Setakat ini, jelas BNM, institusi perbankan menyediakan kemudahan bagi permohonan bantuan pinjaman semula melibatkan 480,000 individu dan 34,400 PKS dalam pelbagai sektor yang terjejas akibat COVID-19. 

Berdasarkan laporan berkenaan, BNM turut menganggarkan tidak lebih daripada 15% peminjam isi rumah mungkin berhadapan kesukaran membuat pembayaran semula pinjaman selepas moratorium secara automatik tamat 30 September lalu.

"Didapati kira-kira satu peratus daripada 15 peratus peminjam yang mempunyai hutang isi rumah tertunggak sebanyak tiga peratus dijangka gagal membuat bayaran setelah mengambil kira bantuan pembayaran semula secara bersasar dan penampan kewangan masing-masing. 

"Sebanyak 40% daripada kegagalan pembayaran itu adalah daripada hutang perumahan dengan purata nilai kepada pinjaman (LTV) berjumlah 70% sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan peminjam terjejas dan merugikan sistem perbankan," jelas BNM dalam laporan itu. 

Menurut BNM, hampir 90% peminjam isi rumah dengan 87% daripadanya mempunyai tunggakan pinjaman isi rumah dalam sistem perbankan memilih menangguhkan pembayaran pinjaman untuk mendapatkan fleksibiliti lebih besar dalam menguruskan aliran tunai sewaktu tempoh tidak menentu. 

"Lebih banyak peminjam berupaya menyambung semula bayaran balik pinjaman dalam beberapa bulan kebelakangan ini, berikutan keadaan perniagaan dan pasaran pekerja yang bertambah baik di samping aktiviti ekonomi beransur pulih. 

"Bagaimanapun, beberapa risiko masih wujud. Beberapa industri perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelanggan dan industri yang masih berada dalam kawalan ketat seperti sektor pelancongan, dijangka terus lemah," katanya. 

Bagi bank pusat itu, kedudukan sistem kewangan Malaysia yang kukuh pada permulaan krisis ini membolehkannya menyokong langkah-langkah bantuan yang besar dan mengekalkan aktiviti pengantaraan bagi membantu isi rumah dan perniagaan mengharungi tempoh yang sangat mencabar ini. 

"Tindakan oleh pembuat dasar bagi menangani tekanan pasaran juga telah membantu menstabilkan keadaan kewangan. Hal ini disokong oleh penarikan balik sekatan pergerakan secara beransur-ansur dan tanda-tanda pemulihan aktiviti ekonomi global. 

"Keadaan ini telah mengurangkan risiko terhadap kestabilan kewangan domestik. Namun, ketidaktentuan pasaran kewangan dijangka kekal tinggi berikutan wujudnya kebimbangan terhadap penularan semula jangkitan COVID-19.
- DagangNews.com