Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 1.75%.
Jelas BNM, ekonomi global terus pulih dengan pengurangan langkah-langkah pembendungan pandemik COVID-19 oleh lebih banyak ekonomi dan sokongan dasar yang kukuh.
"Pembukaan kembali kemudahan pengeluaran telah menyebabkan penyambungan semula aktiviti perkilangan dan perdagangan. Walau bagaimanapun, pemulihan dalam sektor perkhidmatan adalah lebih perlahan.
"Keadaan kewangan telah bertambah baik, walaupun kegiatan penghindaran risiko masih tinggi. Prospek pertumbuhan masih tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah dan ketidakpastian, disebabkan terutamanya oleh risiko penularan semula pandemik dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah," kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 7 Julai lalu, BNM telah mengurangkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas (bps) ke paras terendah sejak 15 tahun lalu, iaitu 1.75% bagi merangsang pemulihan ekonomi negara akibat COVID-19.
Tambah BNM, aktiviti ekonomi terus pulih di Malaysia daripada paras terendah pada bulan April tahun ini.
Penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa keadaan pasaran pekerja, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan terus bertambah baik.
"Pakej rangsangan fiskal turut menyokong pemulihan ekonomi, di samping langkah-langkah monetari dan kewangan. Peningkatan ini dijangka berterusan pada tahun 2021, disokong oleh pemulihan permintaan luar negeri dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta.
"Walau bagaimanapun, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan aktiviti ekonomi dalam beberapa industri kekal berada di bawah paras sebelum pandemik, dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja. Prospek pertumbuhan ini adalah tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan pandemik pada peringkat domestik dan antarabangsa,"tambah BNM.
Sementara itu, tekanan inflasi dijangka terus sederhana pada tahun 2020. Purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah, dan berpurata lebih tinggi pada tahun 2021.
"Pengurangan OPR sebanyak 125 bps secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi. Berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.
"BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan," kata BNM - DagangNews.com