BNM keluarkan draf pendedahan Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario | DagangNews Skip to main content

BNM keluarkan draf pendedahan Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Dis -  Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan draf pendedahan mengenai pengurusan risiko iklim dan analisis senario, yang menetapkan keperluan dan panduan yang dicadangkan mengenainya.

 

Bank pusat itu berkata, keperluan dan jangkaan khusus yang dicadangkan adalah untuk memastikan institusi kewangan mengukuhkan pengurusan risiko kewangan yang berpunca daripada perubahan iklim untuk meningkatkan daya tahan sektor kewangan terhadap risiko berkaitan iklim dan memudahkan peralihan yang teratur kepada ekonomi rendah karbon.

 

"“Draf pendedahan ini melengkapkan Taksonomi Berasaskan Perubahan Iklim dan Prinsip (CCPT), Pembiayaan Pengantaraan Berasaskan Nilai dan Rangka Kerja Penilaian Kesan Pelaburan (VBIAF), serta Panduan Sektoral VBIAF,” kata bank pusat itu di laman webnya di sini hari ini.

 

BNM berkata, perubahan iklim merupakan masalah tindakan kolektif yang kompleks yang boleh mewujudkan risiko kewangan yang material untuk memberi kesan kepada keselamatan dan kekukuhan institusi kewangan, menimbulkan implikasi yang lebih luas terhadap kestabilan sistem kewangan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Ujarnya, memandangkan risiko yang timbul susulan perubahan iklim untuk kestabilan kewangan dalam jangka panjang, BNB menjangkakan institusi kewangan bertindak balas segera dengan mengambil tindakan awal untuk melaksanakan perubahan ke arah membina daya tahan iklim.

 

"Selain itu, institusi kewangan juga perlu bertindak secara strategik, dengan mengambil kira bagaimana tindakan hari ini mempengaruhi hasil masa hadapan di bawah pelbagai senario dan dalam jangka panjang," katanya.

 

Tambahnya, berhubung analisis senario dan ujian tekanan, BNM akan menyediakan panduan tambahan kepada institusi kewangan dalam kertas perbincangan yang akan datang mengenai Ujian Tekanan Perubahan Iklim, yang akan dikeluarkan pada suku pertama 2022. 

 

Ujarnya, kertas perbincangan itu bertujuan untuk mendapatkan maklum balas untuk mengukur kesediaan industri dan untuk mengenal pasti potensi cabaran dalam bidang seperti reka bentuk senario iklim, liputan pendedahan kewangan, metodologi, tahap butiran dan jurang data.

 

"Kami mempelawa maklum balas bertulis mengenai keperluan yang dicadangkan, termasuk cadangan mengenai perkara yang perlu dijelaskan dan cadangan alternatif yang perlu dipertimbangkan oleh bank. 

 

"Maklum balas hendaklah dikemukakan kepada BNM di [email protected] selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022," katanya. -DagangNews.com