KUALA LUMPUR 23 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 gerakan koperasi di Malaysia.
BNM dalam satu kenyataan berkata, duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi, antaranya Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).
Menurutnya, Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5.
Katanya, nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM385 sekeping dan sejumlah 1,000 keping telah ditempa.
"Manakala, Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) pula diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, duit syiling ini mempunyai berat 8.5 gram.
"Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa," katanya.
Menurut kenyataan itu, duit syiling peringatan itu juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM440.
BNM memaklumkan, setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic, sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.
Katanya, bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).
Dalam perkembangan sama, BNM turut mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan sempena sambutan ulang tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-50.
"Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10 pagi pada 23 Disember 2022 hingga 11 malam, 8 Januari 2023," katanya.
BNM berkata, orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.
Tambahnya, semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.
Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan, katanya. - DagangNews.com