BNM, polis serbu 8 premis disyaki `ah long', mungkin terlibat aktiviti pengubahan wang haram | DagangNews Skip to main content

BNM, polis serbu 8 premis disyaki `ah long', mungkin terlibat aktiviti pengubahan wang haram

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Nov - Bank Negara Malaysia menyerbu lapan premis di seluruh Sarawak yang  disyaki menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah daripada BNM serta mungkin terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

 

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, tindakan tersebut adalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi orang ramai terhadap kemungkinan risiko kewangan apabila berurusan dengan entiti tidak berlesen di negara ini.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat serbuan ke 8 premis di pelbagai lokasi di Sarawak.

 

"Serbuan pada 28 November 2023 telah dibuat terhadap premis entiti yang disasarkan kerana disyaki menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah daripada BNM serta mungkin terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram," kata bank pusat tersebut.


 

Entiti tersebut adalah seperti yang berikut:

BNM

 

 

Entiti-entiti ini disiasat di bawah Subseksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act, MSBA).

 

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1) MSBA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

BNM ingin mengingatkan orang ramai bahawa menjadi satu kesalahan untuk mengendalikan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah daripada BNM.

 

Senarai perniagaan perkhidmatan wang berlesen boleh didapati melalui laman web BNM di bnm.gov.my/licensed-msb-operators

 

Orang ramai disaran untuk hanya berurusan dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen bagi melindungi kepentingan kewangan mereka dan digalakkan untuk melaporkan sebarang entiti yang tidak berlesen kepada BNM menerusi: Borang dalam talian BNMLINK | Live Chat | Telefon: 1-300-88-5465 atau +603-2174-1717 (Luar Negara). - DagangNews.com