BNM sambut baik program Urus | DagangNews Skip to main content

BNM sambut baik program Urus

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan inisiatif industri perbankan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memperkenalkan Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan (Urus) bagi peminjam individu yang terus terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat itu telah bekerjasama dengan AKPK untuk membangunkan penyelesaian pengurusan hutang dan perancangan kewangan yang holistik. 

 

Katanya, penyelesaian itu bertujuan untuk menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam supaya mereka bukan sahaja dapat memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman malah lebih penting lagi, dapat mengukuhkan semula kedudukan kewangan mereka.

 

“Bantuan ini akan memperkukuh daya tahan kewangan peminjam dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, pelaksanaan Urus juga adalah selaras dengan usaha-usaha yang dilakukan BNM selama ini.

 

Katanya, Urus akan membantu peminjam B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50% untuk membayar balik pinjaman mereka yang tidak tertunggak. 

 

"Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon Urus boleh berhubung dengan bank-bank mereka mulai 15 November 2021 hingga 21 Januari 2022.

 

"Bagi peminjam/pelanggan yang tidak layak memohon program Urus, mereka masih boleh menghubungi bank-bank untuk berbincang tentang penyelesaian bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka," katanya.

 

Menurut kenyataan itu lagi peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.gov.my/RAsurvey bagi mendapatkan khidmat nasihat jika mempunyai sebarang masalah berkenaan dengan pinjaman mereka.

 

"Mereka juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim baharu ini melalui laman sesawang bank-bank dan AKPK," jelasnya. -DagangNews.com