BNM sedia bantuan RM200 juta untuk PMKS terjejas banjir | DagangNews Skip to main content

BNM sedia bantuan RM200 juta untuk PMKS terjejas banjir

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini.

 

Bantuan itu yang disediakan menerusi Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) akan membantu PKS menampung kos membaiki dan/atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan (contoh loji dan mesin) yang telah rosak akibat banjir atau untuk modal kerja. 

 

BNM berkata, DRF 2022 ini tersedia untuk PKS, termasuk perusahaan mikro, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro. 

 

Katanya, tempoh pembiayaan adalah hingga 5 tahun, termasuk tempoh moratorium selama 6 bulan ke atas bayaran pokok dan faedah/keuntungan. 

 

"Kadar pembiayaan adalah hingga 3.50% setahun, termasuk apa-apa fi jaminan. Kemudahan ini akan disediakan mulai 27 Disember 2021 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya (atau sehingga diberitahu kelak, bergantung pada situasi banjir).

 

"Perniagaan yang terjejas boleh memohon daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM," katanya dalam kenyataan.

 

Para peniaga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia melalui bnm.gov.my/LINK sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan berhubung dengan kemudahan di atas.

 

Industri perbankan dan insurans beriltizam untuk membantu pihak yang terjejas dan telah mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan banjir. - DagangNews.com