BNM yakin Malaysia mampu mendepani risiko pertumbuhan perlahan ekonomi China | DagangNews Skip to main content

BNM yakin Malaysia mampu mendepani risiko pertumbuhan perlahan ekonomi China

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ekonomi Malaysia yang pelbagai membolehkan negara mendepani risiko daripada pertumbuhan perlahan ekonomi China kerana negara tidak terlalu bergantung kepada hanya satu rakan dagang atau industri tertentu.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun China adalah rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia, ia hanya menyumbang 13.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia.

 

Beliau berkata, walaupun pembukaan semula China kekal menyokong ekonomi global, BNM mengakui bahawa kadar pemulihannya perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Ekonomi Malaysia mempunyai kepelbagaian yang baik dari segi produk dan rakan perdagangan, justeru ia mampu menampung impak yang datang dari China.

 

"Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, Malaysia terjejas oleh kelembapan permintaan global. Seperti ekonomi serantau lain, eksport Malaysia juga merosot pada suku kedua 2023.

 

BNM
Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

 

"Ini didorong terutamanya oleh barangan perkilangan yang lebih lemah kesan kemerosotan dalam kitaran teknologi global dan harga komoditi yang lebih rendah," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2023, hari ini, lapor Bernama.

 

Abdul Rasheed berkata, secara keseluruhan pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan tahun ini, terutamanya disebabkan oleh tekanan kos yang tinggi, kadar faedah tinggi serta kadar barangan yang lebih lemah.

 

"Pertumbuhan global dijangka berada di bawah purata jangka panjang tetapi kami tidak menjangkakan kemelesetan total," katanya.

 

Namun begitu, pertumbuhan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong dengan baik oleh daya tahan permintaan dalam negeri dan keadaan pasaran buruh yang kukuh.

 

Lebihan akaun semasa, rizab yang mencukupi dan kadar pertukaran akan membantu Malaysia menyerap kejutan luaran, kata Abdul Rasheed.

 

Beliau berkata, pada separuh kedua 2023, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) perlu purata 3.7% untuk Malaysia mencapai pertumbuhan 4% tahun ini.

 

“Kami melihat pertumbuhan dijangka berterusan dan didorong oleh pengembangan dalam kapasiti permintaan dalam negeri di tengah-tengah kelemahan dalam permintaan luar.

 

"Ini disokong oleh beberapa faktor termasuk peningkatan berterusan dalam keadaan pasaran buruh, kemajuan berterusan projek pelbagai pelaburan oleh sektor swasta dan awam serta aktiviti pelancongan yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com