KUALA LUMPUR 3 Nov - Legasi pesawat tempur F/A-18 bakal berakhir apabila firma Boeing memutuskan untuk menghentikan pengeluaran varian F/A-18E/F Super Hornet dalam tempoh dua tahun lagi.
Super Hornet dibangunkan pada tahun 1990-an sebagai versi jumbo dari F/A-18C Hornet asal sebagai pesawat tempur utama Tentera Laut Amerika Syarikat (USN).
Pesawat ini melakukan penerbangan pertama pada tahun 1995 sebelum memasuki pengeluaran lima tahun kemudian manakala varian pertama keluarga Hornet pula diperkenalkan pada tahun 1974.
Pesawat Super Hornet juga meraih populariti tahun lalu menerusi filem aksi 'Top Gun: Maverick' lakonan Tom Cruise sebagai jurulatih penerbangan USN.
Ketika ini pihak Boeing sedang menyiapkan lapan pesawat terakhir USN yang akan diserahkan pada tahun 2025.
Bagaimana pun, varian ini akan diteruskan sekiranya Boeing menang dalam perolehan pesawat Super Hornet untuk India yang bersaing dengan Rafale dari Perancis.
India memerlukan 26 pejuang baharu untuk kapal pengangkut terbaharunya, Vikrant namun peluang Boeing dikatakan tipis.
Boeing sedang mengalihkan tumpuannya untuk memenuhi permintaan untuk perkhidmatan pertahanan yang lain.
Antaranya meningkatkan lagi pengeluaran termasuk sistem bagi pesakit latihan termaju T-7A Red Hawk, pesawat tanpa pemandu MQ-25 Stingray dan pesawat tempur F-15EX Eagle II.
F/A-18E/F Super Hornet pada asasnya ialah pesawat pejuang F/A-18C Hornet bersaiz super dengan saiz 50 peratus lebih besar.
Super Hornet juga direka bentuk dengan ciri-ciri halimunan lantas menjadikan ia sebagai pesawat tempur yang mampu beroperasi dalam keperluan masa hadapan.
Misi utamanya ialah untuk pertempuran udara, serangan udara ke darat dengan penambahan pod pengisian bahan api luaran serta mengisi minyak pesawat lain.
Versi E ialah pesawat satu tempat duduk manakala versi F ialah dua tempat duduk.
Super Hornet pada asalnya direka untuk menggantikan pejuang F-14 Tomcat dan kemudian menggantikan varian F/A-18C Hornet.
Mengikut perancangan, menjelajang tahun 2030, setiap kapal pengangkut USN akan mempunyai gabungan dua skuadron pesawat F-35C dan dua skuadron F/A-18E/F.
Pada masa sama, USN juga sedang membangunkan program pesawat udara masa masa hadapan bagi menggantikan khidmat Super Hornet dengan pesawat generasi keenam.
Ketika ini selain USN dan pasukan aerobatik Blue Angels, pesawat Super Hornet turut dioperasikan Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Kuwait.
Malaysia pernah tersenarai sebagai salah satu negara berpotensi sebagai pengguna Super Hornet apabila firma Boeing sejak tahun 2002 menawarkan pesawat ini kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ini bagi menambah atau menggantikan kesemuanya pesawat F/A-18D Hornet yang ada.
Boeing yang bersaing rapat dengan firma-firma lain bagi program pesawat pejuang pelbagai peranan TUDM turut menawarkan opsyen menarik termasuk kemudahan pembiayaan.
Difahamkan perolehan sekurang-kurangnya 18 buah pesawat Super Hornet ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Bagaimana pun, kerajaan tidak dapat memberi komitmen untuk perolehan tersebut yang menyaksikan TUDM terus menggunakan pesawat F/A-18D Hornet yang kini telah berusia 26 tahun.- DagangNews.com