BOH rai ulang tahun ke-95, tingkatkan tekad pelihara kelestarian | DagangNews Skip to main content

BOH rai ulang tahun ke-95, tingkatkan tekad pelihara kelestarian

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - BOH, pengeluar dan penanam teh terbesar di Malaysia meraikan ulang tahunnya yang ke-95 dengan sambutan bertemakan ‘95 dan Bru Untuk Masa Hadapan’ yang berlangsung hari ini di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. 

 

Semasa sambutan itu, BOH melancarkan Imunitea, teh susu segera perisa Hazelnut pertama di Malaysia yang diperkaya dengan Wellmune®, beta glucan semula jadi terbukti secara klinikal membantu menguatkan sistem imun.

 

Kata BOH, pelancaran Imunitea adalah usaha syarikat itu untuk memfokuskan gaya hidup yang lebih sihat.

 

BOH mempunyai tiga ladang teh di Cameron Highlands yang meliputi keluasan 1,000 hektar. Secara kolektif, ladang teh BOH, Fairlie, dan Sungei Palas menghasilkan 2.8 juta kilogram teh setiap tahun. 

 

Secara keseluruhannya, 5 juta cawan teh BOH dihidangkan setiap hari.

 

Dalam usaha BOH mengintegrasikan kelestarian dalam operasinya, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo menjelaskan usaha syarikat itu untuk memahirkan lagi kepakaran dalam seni pembuatan teh serta mementingkan pemeliharaan alam sekitar . 

 

“Oleh itu, kami telah memulakan pelbagai inisiatif di seluruh operasi menyokong janji BOH untuk terus mencorak masa hadapan yang lebih baik, sambil mengekalkan komitmen kami terhadap kelestarian (SustainabiliTEA) dan Komuniti (CommuniTEA)," ujar beliau semasa majlis itu.

 

Menurut beliau, kira-kira 45% daripada tanah di Cameron Highlands merupakan hutan terpelihara. 

 

Antara amalan pertanian bertanggungjawab syarikat itu termasuk pemilihan teh terbaik untuk penanaman, menanam tumbuhan anti perosak bagi mengurangkan kebergantungan kepada racun serangga dan menanam rumput untuk mengukuhkan lagi tanah bagi mencegah hakisan.

 

BOH juga menjana tenaga solar melalui panel solar yang dipasang di kilang-kilangnya untuk mengurangkan kebergantungan kami kepada bahan bakar fosil dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida. 

 

Dalam usaha BOH menjadi pengeluar teh berteraskan Matlamat Pembagunan Mampan (SDG), syarikat itu menggunakan straw kertas biodegradasi dan beg oksodegradasi manakala sisa makanan dikomposkan menjadi baja.

 

"Kami secara beransur-ansur menukar semua pembungkusan kami kepada bahan yang boleh dikitar semula dan terbiodegradasi serta menggunakan kertas yang disahkan oleh Forest Stewardship Council Hutan (FSC) yang diperolehi dari hutan yang diurus dengan bertanggungjawab," katanya.

 

Salah satu acara utama sambutan ulang tahun ke-95 yang berlangsung hingga 21 Julai ini ialah inisiatif BOH Wish Tree. 

 

Komuniti dijemput untuk menulis buah fikiran mereka tentang bagaimana mereka boleh bersama-sama BOH dalam mencorak masa depan yang lebih baik.

 

"Setiap ‘wish card’ yang diterima, BOH akan menyumbangkan RM20 kepada Pusat Pemuliharaan & Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) untuk menyokong usaha-usaha biodiversiti bandar," kata BOH.

 

Sementara itu, duta jenama BOH, Fazura, telah melancarkan koleksi tudung terbaru Tudung Fazura, yang direka khas untuk ulang tahun ke-95 BOH.

 

Penyanyi dan pelakon terkenal, Azira Shafinaz pula akan membuat penampilan pada 20 Julai dengan persembahan cukup istimewa.

 

Pada masa yang sama, terdapat pelbagai aktiviti dan permainan menarik dianjurkan untuk penglibatan komuniti. - DagangNews.com