Bonanza Educare-Universiti Terbuka Wawasan jalin kerjasama dalam pendidikan, latihan  | DagangNews Skip to main content

Bonanza Educare-Universiti Terbuka Wawasan jalin kerjasama dalam pendidikan, latihan 

Kampus induk WOU di George Town, Pulau Pinang.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 3 Mac - Pelbagai kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan akan diteroka antara Bonanza Educare Sdn. Bhd. (BE) dengan Universiti Terbuka Wawasan (WOU) bagi memanfaatkan kedua-dua kumpulan pendidikan.

 

Ia melibatkan peluang latihan kepada pelajar  WOU dalam mengukuhkan pengetahuan serta kemahiran industri mereka di lokasi pembelajaran kendalian BE.

 

Kerjasama ini juga membuka ruang kepada pengambilan calon pelajar yang sesuai dari WOU di institusi pendidikan di bawah pengurusan BE selepas tamat pengajian.

 

Pengerusi dan Pengarah BE, Dato’ Lim Si Boon berkata, bagi pihak WOU pula, institusi ini akan menawarkan program pengajiannya kepada warga kerja BE dan ahli keluarga terdekat.

 

"Kedua-dua kumpulan pendidikan juga berusaha untuk menjalinkan kerjasama dalam projek dan aktiviti termasuk ceramah, seminar, pembentangan dan aktiviti lain.

 

"Turut dipersetujui ialah kerjasama dalam projek penyelidikan, pembangunan bersama dan permohonan untuk pembiayaan penyelidikan bersama," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan pendidikan BE adalah perintis pendidikan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa di negara ini dengan lebih 60 tahun pengalaman.

 

Antara insititusi pendidikan kendalian BE ialah rangkaian Sekolah Antarabangsa Knewton, pusat pembelajaran bahasa Ipoh Learning & Training Institute, Language Labz serta taska dan tadika Kinder Labz.

 

 

parafrasa
Dato’ Lim Si Boon (kanan) dan Prof Dr Lily Chan selepas memeterai MoU di Ipoh pada 1 Mac 2023.

 

parafrasa
Dato’ Lim Si Boon memberi penerangan kepada Prof Dr Lily Chan tentang kemudahan yang terdapat di bangunan 1Lasam yang merupakan ibu pejabat Bonanza Venture Holdings Ipoh.

 


Sementara itu, Ketua Eksekutif dan Naib Canselor WOU, Prof Dr Lily Chan memberitahu, pihaknya amat berbesar hati dalam kerjasama tersebut bagi mewujudkan peluang pendidikan dan pekerjaan yang memberi manfaat pada kedua-dua pihak. 

 

"Pelajar kami yang berpotensi turut dapat merasai manfaat daripada latihan amali dan peluang pekerjaan yang ditawarkan di BE.

 

“Melalui kerjasama ini, sekumpulan pakar dari WOU akan berkongsi kepakaran dan pengetahuannya dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, sains dan teknologi. 

 

"Universiti ini juga menyediakan pelbagai program yang boleh diakses melalui pendidikan jarak jauh dan pembelajaran fleksibel pada warga kerja BE," tambahnya. 

 

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kumpulan pendidikan tersebut dimeterai  di ibu pejabat Bonanza Venture Holdings (BVH) Ipoh yang merupakan anak syarikat BE. - DagangNews.com