Boustead Heavy Industries catat rugi bersih RM5.7 juta pada 3QFY23 berbanding untung bersih RM564,000 tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries catat rugi bersih RM5.7 juta pada 3QFY23 berbanding untung bersih RM564,000 tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Boustead Heavy Industries Corporation Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM5.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding untung bersih RM564,000 pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM38.5 juta berbanding RM35.9 juta pada 3QFY22.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM77.7 juta, RM25.5 juta lebih rendah berbanding RM103.2 juta dilaporkan pada tahun lalu dan penyusutan itu adalah disebabkan kontrak berkaitan kapal selam.

 

Hasil operasi berjumlah RM18.5 juta, lebih rendah daripada RM24.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada projek kapal selam dan projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih berkaitan pertahanan lain (MRO).

 

"Kumpulan itu merekodkan rugi bersih sebanyak RM7.2 juta bagi 9MFY23 berbanding untung bersih RM6.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

BACA JUGA: Boustead Heavy Industries terima dua kontrak kapal selam TLDM bernilai RM140 juta

 

"Peningkatan dalam kos kewangan kepada RM15.4 juta daripada RM13 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh kadar faedah purata wajaran yang lebih tinggi sebanyak 6.1% dan pendahuluan daripada syarikat berkaitan.

 

"Sumbangan negatif lebih tinggi daripada syarikat usaha sama sebanyak RM4 juta ditambah kepada kerugian, hasil daripada permintaan yang lebih rendah daripada pelanggan dan lebih tinggi perbelanjaan operasi" katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Di sebalik landskap operasi yang mencabar, kumpulan itu tetap teguh untuk menyelesaikan kontrak di tangan tepat pada masanya, pada kos yang ditetapkan bagi memastikan kepuasan pelanggan.

 

"Kami menjangkakan kontrak Interim ISS untuk kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia dan kontrak Penjagaan Kemudahan Kapal Selam akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada FY23

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus mendapatkan kontrak pertahanan lain, meluaskan asas hasil kami dalam segmen komersial dan menyampaikan nilai kepada pemegang saham kami dengan memanfaatkan kemudahan dan modal insan kumpulan," katanya. - DagangNews.com