KUALA LUMPUR 1 Julai - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah menerima lanjutan kontrak selama setahun daripada Kementerian Dalam Negeri berkuatkuasa 1 Julai 2021 dengan nilai disemak semula sebanyak RM95.98 juta.
Kontrak itu, yang diperoleh pada Oktober 2016, adalah untuk penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan bersepadu dan sokongan logistik untuk tiga unit helikopter model Dauphin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
"Selain daripada pelanjutan tempoh kontrak dan semakan nilai kontrak, tiada perbezaan ketara antara bahan kontrak dan surat anugerah (LOA) yang dilanjutkan," katanya dalam satu makluman kepada bursa saham.
Kontrak dan LOA yang dilanjutkan ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021.
Pada penutup dagangan Bursa Malaysia hari ini, saham-saham BHIC susut 1.5 sen kepada 54 sen dengan 89,100 saham bertukar tangan. - DagangNews.com