BPMB tandatangan perjanjian kajian teknikal bersama Bank Pembangunan Islam, Yayasan Waqaf Malaysia | DagangNews Skip to main content

BPMB tandatangan perjanjian kajian teknikal bersama Bank Pembangunan Islam, Yayasan Waqaf Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menandatangani perjanjian kajian teknikal bersama Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi menubuhkan Dana Pelaburan Hartanah Wakaf (APIF).

 

Pengerusi BPMB, Tan Sri Nazir Razak berkata, IsDB telah melaksanakan banyak projek wakaf di negara seperti Arab Saudi, Bangladesh dan Amerika Syarikat (AS).

 

Beliau berkata, pihak bank berhasrat untuk menggunakan pengalaman dan set kemahiran yang dimiliki IsDB untuk melakukan perkara yang sama di Malaysia.

 

"Dengan meneroka potensi aset wakaf yang belum diterokai, kami percaya kerjasama ini akan memberi impak pembangunan yang ketara kepada negara dan memberi manfaat kepada penerima yang berpendapatan rendah.

 

"Langkah pertama ialah kajian teknikal ini bagi menilai kebolehlaksanaan pasaran pembangunan wakaf dengan kerjasama juga dengan YWM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Pengerusi IsDB, Muhammad Al Jasser berkata, pihaknya berbesar hati menerima BPMB atas inisiatif ini bagi menyokong penubuhan APIF-Malaysia.

 

"Kami berharap kajian teknikal ini akan membuka kunci nilai dan potensi sebahagian besar tanah wakaf di Malaysia yang masih terbiar dan masih belum dibangunkan.

 

"Ia akan menjadi kerjasam pertama APIF di Asia Tenggara," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Amir Shaharuddin berkata, kerjasama itu tepat pada masanya kerana ia membantu membolehkan akses kepada pasaran tanah dan kredit.

 

Amir berkata, kerjasama itu boleh menjadi peluang pembangunan yang berpotensi untuk diterokai oleh institusi kewangan Islam.

 

“Pembangunan waqaf adalah satu cara kebajikan mampan dan penting dalam membina keadaan sosio-ekonomi untuk orang ramai.

 

"Kami berharap dapat membuka potensi aset wakaf ini dan menjana semula kekayaan untuk manfaat golongan yang kurang mendapat manfaat dan berusaha untuk mengecilkan jurang sosial dan pendapatan," katanya. - DagangNews.com