BPMB, UOB Malaysia, CCB sedia pembiayaan RM264.5 juta bagi projek Transit Aliran Autonomi berkuasa hidrogen di Kuching | DagangNews Skip to main content

BPMB, UOB Malaysia, CCB sedia pembiayaan RM264.5 juta bagi projek Transit Aliran Autonomi berkuasa hidrogen di Kuching

(Dari kiri) Timbalan Pengarah Urusan CCB Malaysia, Chelsea Ma Yan; Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei; Ketua Pegawai Eksekutif Metro Sarawak, Mazli Mustaffa; Pengerusi SEDC dan Metro Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGJV, Chan Chee Kian.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), UOB Malaysia dan China Construction Bank (Malaysia) Berhad (CCB Malaysia) akan mengatur program sindiket untuk melanjutkan kemudahan pembiayaan kepada EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd (EMGJV).

 

Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, ketiga-tiga pihak berkata program pensindiketan itu terdiri daripada pakej pembiayaan berjumlah RM264.5 juta, yang akan membolehkan EMGJV melaksanakan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1.

 

EMGJV adalah kontraktor lantikan Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), untuk membangunkan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen di Kuching, Sarawak, yang merupakan pertama di Asia Tenggara.

 

Penyiapan projek itu akan menyaksikan pelaksanaan Laluan Biru iaitu dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar Kuching), Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending, serta Laluan Hijau dari Pending ke Damai Central.

 

BPMB, UOB Malaysia dan CCB Malaysia adalah pengatur utama dimandat bagi program sindiket itu,

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB Roni Abdulwahab berkata projek tersebut sejajar dengan tujuannya dalam menyampaikan modal impak untuk pembangunan negara.

 

“Hari ini, kami menilai semua aktiviti kami menggunakan rangka kerja penilaian dipanggil MIND (Measuring Impact on National Development), bagi memastikan semua projek kami memberikan impak sosioekonomi dan alam sekitar. KUTS terutamanya mendapat markah tinggi dalam penilaian MIND kami,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata projek itu sejajar dengan tumpuan bank untuk mengurangkan pelepasan dibiayai yang termasuk di bawah Skop 3.

 

“Dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak di Sarawak dan dasar sokongan kerajaannya, negeri ini jelas berpotensi untuk mendahului peralihan ke arah ekonomi hijau, bernilai tinggi dan UOB berbesar hati menyokong cita-cita ini,” katanya.

 

 

Timbalan Pengarah Urusan CCB Malaysia, Chelsea Ma Yan menambah bahawa syarikat itu berdedikasi menyediakan perkhidmatan kewangan lebih komprehensif kepada industri di Sarawak, bagi menyokong aspirasinya untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

 

Ujian perintis projek itu dijadualkan menjelang suku ketiga 2023 dan dirancang untuk memulakan operasi penuh secara berperingkat menjelang suku keempat 2025.

 

Apabila ia mula beroperasi, setiap tren ART boleh membawa sehingga 300 penumpang merentasi jajaran Fasa 1 sepanjang 69.9km KUTS meliputi kawasan metropolitan Kuching dan Greater Kuchin- DagangNews.com