BSA lancar panduan keselamatan siber untuk menangani jenayah siber di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

BSA lancar panduan keselamatan siber untuk menangani jenayah siber di Asia Tenggara

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Ancaman siber dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan infrastruktur di Asia Tenggara terus meningkat ketika perniagaan terus berkembang dan menerima teknologi baharu serta cara bekerja secara digital. 

 

The Software Alliance yang juga dikenali sebagai BSA memetik Gartner Inc berkata, serangan siber ke atas organisasi dalam sektor infrastruktur kritikal meningkat secara mendadak daripada kurang daripada 10 pada 2013 kepada hampir 400 pada 2020.

 

Katanya, pihak industri berdepan pelbagai risiko serangan siber daripada pencerobohan data, phisings dan selain serangan perisian yang boleh membuatkan mereka mengalami kerugian berbilion dollar.

 

Selain itu, penggunaan  perisian reka bentuk tidak berlesen dalam industri ini adalah berisiko tinggi kerana ia menjadikan mereka sangat terdedah.

 

Pengarah Kanan BSA, Tarun Sawney berkata, pihaknya telah melancarkan panduan kelangsungan hidup yang menggariskan peningkatan risiko siber dan menawarkan nasihat tentang cara pemimpin perniagaan di Asia Tenggara untuk meningkatkan keselamatan siber untuk perniagaan mereka.

 

Beliau berkata, tiada negara atau organisasi di rantau Asia Tenggara akan terlepas daripada ancaman jenayah siber. 

 

atak
Tarun Sawney

 

Katanya, kedudukan Asia Tenggara sebagai antara ekonomi digital paling pesat berkembang di peringkat global menjadikan mereka sebagai sasaran utama serangan siber.

 

"Kami tahu pemimpin perniagaan menghadapi pelbagai cabaran dan mungkin tidak mempunyai masa untuk mengkaji isu tersebut, kami berusaha untuk mencipta panduan kelangsungan hidup ini.

 

"Harapan kami ialah untuk membantu menjadikan industri ini lebih selamat," katanya.

 

Beliau berkata, e-buku percuma itu, bertajuk "Panduan survival keselamatan siber untuk perniagaan pembinaan, kejuruteraan dan infrastruktur di Asia Tenggara" akan membantu pemimpin di rantau itu dalam menghadpi ancaman identiti industri infrastruktur dan meminimumkan risiko yang dihadapi organisasinya. - DagangNews.com