BSN masukkan bayaran BPR mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

BSN masukkan bayaran BPR mulai hari ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mula memasukkan bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi fasa dua bermula hari ini sehingga 17 Mei. 

 

Ini akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu pengkreditan akaun dan secara tunai.

 

Bagi pengkreditan akaun, bayaran akan dibuat bermula hari ini hingga 12 Mei manakala pembayaran tunai di cawangan bank pula dilakukan pada 17 Mei, jelas Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy.

 

“Pembayaran BPR 2021 fasa dua melalui pengkreditan akaun akan dilakukan berdasarkan maklumat penerima yang dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada BSN. 

 

Jay Khairil Jeremy
Jay Khairil Jeremy

 

“Bagi pembayaran secara tunai pula, penerima perlu membawa kad pengenalan ketika hadir ke cawangan BSN,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau dalam masa sama menasihatkan penerima untuk merancang waktu kunjungan ke cawangan BSN terlebih dahulu dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

Katanya lagi, BSN juga membuat persediaan awal dengan kerjasama daripada RELA serta Polis Bantuan bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.

 

"Hanya wakil yang didaftarkan sahaja dibenarkan untuk mewakilkan penerima bagi penerimaan bayaran BPR 2021. 

 

“Penerima BPR dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu melalui laman sesawang LHDNM - http://bpr.hasil.gov.my atau hubungi LHDNM Hotline BPR melalui talian 1-800-88-2747 sebelum hadir di mana-mana Cawangan BSN.

 

"Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang BSN www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1-300-88-1900," ujar beliau lanjut.

 

Fasa 2 bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 3.6 juta isi rumah, sejuta warga emas dan 3.8 juta individu bujang. - DagangNews.com