Buku Jalanan Chow Kit menangi geran bernilai RM115,033 daripada Dana Kesan Sosial Kumpulan Allianz 2022 | DagangNews Skip to main content

Buku Jalanan Chow Kit menangi geran bernilai RM115,033 daripada Dana Kesan Sosial Kumpulan Allianz 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) yang bekerjasama dengan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) sejak 2019 telah memenangi geran 25,000 euro (RM115,033) daripada inisiatif Dana Kesan Sosial Kumpulan Allianz 2022.

 

Dana Kesan Sosial ialah program utama kumpulan yang menawarkan peluang strategik untuk entiti operasi (OE) di seluruh dunia untuk menerima pembiayaan bagi aktiviti Kewarganegaraan Korporat tempatan mereka yang melangkaui sumbangan amal semata-mata, memfokuskan kepada mewujudkan impak yang boleh diukur dan perkongsian antara sektor. 

 

BJCK dan Allianz Malaysia adalah antara 16 pemenang daripada 27 pemohon dari seluruh dunia.

 

Allianz Malaysia melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, Allianz4Good telah memberikan sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan itu melalui sumbangan bantuan, seterusnya mencalonkan BJCK untuk program tersebut.

 

Sumbangan itu termasuk bantuan untuk pelajar BJCK dan keluarga mereka yang sangat terdedah kepada kesan sosial dan ekonomi daripada wabak itu disebabkan pekerjaan mereka yang tidak menentu dan kekurangan jaminan sosial.

 

Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, terdapat penekanan daripada BJCK dan Allianz Malaysia dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan holistik kepada pelajar bagi memastikan mereka menjadi ejen perubahan untuk keluarga dan masyarakat secara keseluruhan. 

 

"Kami amat gembira kerana kumpulan berkongsi sentimen yang sama dan menyokong kami dalam perkongsian ini. Sehingga kini, BJCK telah memanfaatkan pelbagai rakan kongsi, termasuk Allianz Malaysia, untuk memastikan operasinya dikekalkan. 

 

 

allianz
Ng Siew Gek

 

 

"Mereka kini mampu berkembang dalam skala dan skop kerana kejayaan mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Geran yang diterima daripada Dana Kesan Sosial akan membantu BJCK dari segi kewangan, terutamanya dalam pengubahsuaian bangunan terkini sekolahnya yang menjadi pusat komuniti di tempat asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pusat komuniti BJCK meneroka konsep penggunaan campuran radikal untuk menggunakan semula lot kedai komersil sedia ada secara adaptif sebagai pusat pendidikan, rekreasi, peningkatan kemahiran, pengeluaran makanan dan pemeliharaan budaya.

 

Matlamat projek ini adalah untuk menyediakan kaedah pembelajaran inovatif dan pembelajaran berasaskan kemahiran kepada golongan miskin bandar dan keluarga kurang bernasib baik yang tinggal di kawasan Chow Kit, sambil menyediakan mereka dengan sumber untuk memutuskan kitaran kemiskinan. - DagangNews.com