Buku pesanan Kimlun diunjur meningkat kepada RM3.5 bilion, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Buku pesanan Kimlun diunjur meningkat kepada RM3.5 bilion, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Buku pesanan Kimlun Corporation Bhd diunjur meningkat kepada RM3.5 bilion selepas syarikat kerjasamanya dengan Astaka Holding Bhd membangunkan servis apartmen berhampiran Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, di bawah perjanjian itu, kumpulan itu akan membelanjakan RM490,000 untuk melanggan 49% kepentingan dalam syarikat kerjasama itu.

 

Syarikat itu akan memperoleh tanah seluas 1.66 hektar, Astaka Padu Sdn Bhd, dan Seaview Holdings Sdn Bhd pada harga RM61.5 juta.

 

Syarikat kerjasama itu akan membiayai pengambilalihan tanah melalui pinjaman, pinjaman pemegang saham, atau suntikan modal yang berkadar dengan kepentingan ekuiti.

 

“Melalui cara itu, syarikat boleh memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM300 juta, meningkatkan jumlah buku pesanan kepada RM3.5 bilion dan juga mengiktiraf 49%keuntungan pembangunan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kimlun membentuk syarikat JV dengan firma Singapura, Astaka bina servis apartmen di JB

 

"Nisbah kos tanah kepada nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak 10% boleh memberikan margin keselamatan yang mencukupi manakala lokasi utamanya meyakinkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pembangunan itu, yang dikenali sebagai Arden@One Bukit Senyum pada dasarnya adalah Fasa 3 pembangunan utama Astaka Holdings, One Bukit Senyum di Johor. Arden membawa GDV sebanyak RM600 juta dan akan terdiri daripada 600 unit kediaman perkhidmatan premium.

 

Projek itu dijadualkan dilancarkan pada suku keempat 2024, dengan pembinaan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan.

 

"Pada harga pembelian tanah RM61.5 juta, ini diterjemahkan kepada nisbah tanah-ke-GDV yang rendah iaitu sekitar 10% yang menyediakan penampan. 

 

"Kami juga mendapati bahawa kompleks kondominium lain di sekitar dijual sehingga RM1,400 sekaki persegi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham. - DagangNews.com