Bumi Armada catat peningkatan untung bersih sebanyak 8.2% kepada RM201 juta pada 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada catat peningkatan untung bersih sebanyak 8.2% kepada RM201 juta pada 1QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - Untung bersih Bumi Armada Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) meningkat 8.2% kepada RM201 juta berbanding RM185.76 juta pada tahun sebelumnya didorong oleh pendapatan operasi lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan bagi suku itu meningkat kepada RM543.99 juta berbanding RM529 juta, disebabkan hasil lebih tinggi daripada perkhidmatan kejuruteraan.

 

Bagaimanapun, hasil bagi suku pertama adalah lebih rendah berbanding RM605 juta yang dicatatkan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) disebabkan ketersediaan kapal yang lebih rendah untuk FPSO Armada Kraken dan hasil yang lebih rendah daripada pesanan variasi untuk FSPO Armada Olombendo.

 

Keuntungan operasi sebelum rosot nilai adalah lebih tinggi pada RM263.4 juta pada 1QFY23 berbanding 4QFY22.

 

Aliran tunai kekal stabil sebanyak RM288.3 juta dijana daripada aktiviti operasi pada 1QFY23 yang digunakan untuk mengurangkan lagi kunci kira-kira dan mengurangkan kos faedah bagi kumpulan.

 

Pinjaman untuk Armada Kraken telah dibayar sepenuhnya pada Mac 2023 iaitu tiga bulan lebih awal daripada jadual.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, walaupun ini adalah permulaan yang kukuh untuk tahun ini, kumpulan itu tetap berwaspada bagi memastikan operasi kapalnya stabil bagi terus memacu prestasi kewangan syarikat.

 

“Kami terus berusaha untuk peluang baharu selain kekal fokus pada keselamatan, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain kemampanan, kecemerlangan operasi serta disiplin kewangan,” katanya. - DagangNews.com