Bumi Armada, Pertamina International Shipping dan Davenergy Mulia Perkasa bagi komersialkan LNG dari Medan Gas Madura | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada, Pertamina International Shipping dan Davenergy Mulia Perkasa bagi komersialkan LNG dari Medan Gas Madura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Bumi Armada Berhad memeterai perjanjian kerjasama dengan PT Pertamina International Shipping dan PT Davenergy Mulia Perkasa (DMP) iaitu syarikat perdagangan gas asli Indonesia bagi membangun serta mengkomersialkan gas asli cecair (LNG) dari Medan Gas Madura, Indonesia.

 

Kumpulan itu berkata, perjanjian itu menggariskan prinsip utama bagi pembangunan dan mengkomersialkan LNG daripada Medan Gas Madura dan kawasan sekitarnya.

 

Pertamina International Shipping ialah sub pegangan perkapalan dan logistik marin syarikat tenaga milik kerajaan Indonesia, Pertamina.

 

Katanya, perbincangan awal telah dimulakan dengan beberapa bakal pelanggan off-taker dan penghantaran pertama LNG dijangka berlaku tiga tahun selepas membuat keputusan pelaburan muktamad.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, pihaknya teruja dengan jalinan kerjasama kerana ia akan menyediakan rumusan mampan dan berskala bagi mengurangkan pelepasan karbon di Indonesia.

 

"Ia juga selaras dengan agenda nyahkarbon kumpulan yang dilancarkan baru-baru ini bagi mencapai sifar bersih menjelang 2050. 

 

"Kerjasama ini adalah bukti komitmen kami ke arah menyediakan rumusan nyahkarbon terbaik di peringkat global," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bumi Armada dan Pertamina International Shipping dijangka bekerjasama, menggunakan kepakaran dan pengalaman masing-masing, dalam pembangunan kemudahan pencairan dan penyimpanan gas asli terapung.

 

Kerjasama itu bertujuan untuk mereka bentuk, kejuruteraan, membina, memasang, mentauliahkan, menyambung dan mengendalikan kemudahan itu, bersama-sama dengan pembawa LNG. 

 

Pihak berkenaan juga berhasrat untuk mengangkut LNG kepada pengguna yang terletak di kawasan yang kekurangan akses kepada sumber tenaga bersih. - DagangNews.com