Bursa Malaysia catat aliran keluar bersih RM60.11 juta daripada pelabur asing | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia catat aliran keluar bersih RM60.11 juta daripada pelabur asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Pelabur asing menjadi penjual bersih pada minggu lalu dengan aliran keluar bersih RM60.11 juta manakala peruncit tempatan bertukar menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk bersih RM177.33 juta.

 

Pada masa sama institusi tempatan kekal menjadi penjual bersih dengan aliran keluar sebanyak RM117.21 juta.

 

MIDF Research dalam satu nota strategi berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih di Bursa Malaysia sebanyak RM0.44 juta sebelum menjadi penjual bersih pada Selasa dengan jualan sebanyak RM22.26 juta.

 

"Aliran keluar bersih terbesar daripada pelabur asing adalah pada Khamis dengan RM41.83 juta sebelum kembali menjadi pembeli bersih pada Jumaat sebanyak RM12.67 juta. 

 

"Dana asing menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk 12 daripada 15 minggu pertama 2022 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM6.91 bilion sehingga kini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peruncit tempatan merupakan pembeli bersih sepanjang minggu lalu dengan aliran masuk terbesar berlaku pada Isnin dengan pembelian bersih RM52.06 juta dengan aliran masuk terkecil berlaku pada Jumaat sebanyak RM16.36 juta. 

 

Sementara itu, institusi tempatan merupakan penjual bersih sepanjang minggu kecuali Khamis apabila mereka menjadi pembeli bersih sebanyak RM4.01 juta.

 

"Aliran keluar terbesar oleh institusi tempatan adalah pada Isnin iaitu sebanyak RM52.50 juta dan aliran keluar terkecil adalah pada Selasa iaitu sebanyak RM12.35 juta.

 

"Sehingga kini, institusi tempatan merupakan penjual bersih sebanyak RM7.5 bilion manakala peruncit tempatan merupakan pembeli bersih sebanyak RM588.2 juta," katanya. - DagangNews.com