Bursa Malaysia catat aliran masuk bersih sebanyak RM312.4 juta daripada pelabur asing | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia catat aliran masuk bersih sebanyak RM312.4 juta daripada pelabur asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 April - Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu berakhir 8 April 2022 dengan jumlah aliran masuk bersih RM312.40 juta manakala institusi dan peruncit tempatan kekal menjadi penjual bersih pada minggu itu dengan RM303.19 juta dan RM9.22 juta.

 

MIDF Research dalam laporan strategi ekuitinya berkata, dana antarabangsa menjadi tumpuan pembeli bersih untuk sembilan minggu dan aliran keluar masuk berlaku sepanjang 12 minggu daripada 14 minggu 2022 dengan aliran masuk selama sembilan minggu itu adalah RM6.67 bilion dan setakat ini jumlah keseluruhan aliran masuk adalah RM6.97 bilion.

 

Pelabur asing menjadi pembeli bersih sepanjang minggu dengan pembelian terbesar pada Isnin dengan RM93.34 juta dan yang terkecil pada Khamis iaitu sebanyak RM17.38 juta.

 

"Institusi tempatan kekal menjadi penjual bersih dengan jualan terbesar berlaku pada Rabu dengan jumlah RM95.49 juta manakala jualan terkecil pada Jumaat sebanyak RM30.08 juta dan jumlah keseluruhan adalah RM303.19 juta.

 

"Peruncit tempatan menunjukkan pergerakan bercampur minggu lalu dengan tiga hari jualan bersih dan dua hari pembeli bersih dengan kedudukan jualan bersih sebanyak RM9.21 juta.

 

"Sehingga kini, institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan rekod RM7.28 bilion manakala peruncit tempatan kekal menjadi pembeli bersih dengan RM0.41 bilion dan RM7 bilion masing-masing," katanya. 

 

Sektor yang paling digemari pelabur asing pada minggu lalu adalah perkhidmatan kewangan, perladangan dan produk industri yang menyaksikan aliran masuk sebanyak RM329.9 juta juta, RM57.3 juta dan RM45.1 juta masing-masing.

 

"Dari segi penyertaan, institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 13.5% dan 13.66% manakala pelabur asing mencatatkan penurunan 10.39%," katanya. - DagangNews.com